PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Januari ini.
Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bergelora ekoran tindakan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menarik sokongan kepada ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Mohd. Shukri kemudian meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik mengetuai kerajaan negeri Perlis.
Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran Facebook hari ini memberitahu Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari ini.
Menurut Ahmad Fadhli, tindakan itu merupakan langkah yang bijak dan tepat oleh Muhyiddin dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Saya yakin Pas akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baru.
“Tidak semestinya Presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN.
“Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi Perikatan Nasional bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli merakamkan ucapan tahniah di atas keterbukaan Muhyiddin untuk berbuat demikian.
“Selamat bekerja Pengerusi Perikatan Nasional yang baru,” katanya.-UTUSAN










