KUALA TERENGGANU: Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuka ruang kepada Pas menerajui gabungan itu menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pas, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, keputusan Muhyiddin itu adalah tindakan yang bijak dan tepat dalam situasi PN memerlukan momentum baharu menjelang PRU16.
“Perubahan ini membuka ruang untuk Pas menerajui PN sebagai Pengerusi yang baharu. “Tahniah Tan Sri (Muhyiddin) atas sikap terbuka beliau. Satu keputusan yang dibuat dengan jiwa besar seorang pemimpin. Terima kasih atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin dilapor memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi PN bermula 1 Januari ini.
Bekas Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih kepada semua kepemimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan tersebut sejak penubuhannya lima tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris dalam kenyataan ringkas dalam laman Fecebook beliau menyifatkan Muhyiddin akhirnya membuat keputusan yang tepat dengan ‘tidak lagi memilih jalan yang sukar’ dengan keputusannya meletak jawatan Pengerusi PN.
Pada 13 September lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, sudah tiba masanya Pas mengambil alih tampuk kepemimpinan PN secara muafakat politik.

Beliau berkata, memperkukuh kerjasama dalam PN dan memastikan kemenangan pada PRU16 menjadi keutamaan sekali gus membuka ruang parti itu mengetuai blok pembangkang.
“Sudah sampai waktu dan ketikanya Pas berbincang dengan rakan muafakat politik untuk Pas pula mengambil alih mengetuai kerusi ini secara muafakat politik.
“Pada peringkat ini yang menjadi keutamaan adalah untuk kita berusaha memperkukuh muafakat politik, berusaha memenangi pilihan raya dan isu siapa yang menjadi Perdana Menteri adalah isu yang wajar dibincangkan secara bersama sebagai muafakat PN.
“Pandangan pelbagai pihak termasuk sayap-sayap parti akan dipertimbang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas,” katanya. – UTUSAN










