Muhammad Azmir calon Menteri Besar Perlis dari Pas?

Muhammad Azmir calon Menteri Besar Perlis dari Pas?

MUHAMMAD AZMIR AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Muhammad Azmir Azizan merangkap Exco kanan kerajaan negeri an­tara nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar dari Pas bagi meng­gantikan Mohd. Shukri Ramli.

Muhammad Azmir dikatakan­ antara calon terkuat dari Pas dan mendapat dukungan Pas pu­sat sebagai calon Menteri Be­sar yang dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Difahamkan, Pas menghantar nama Muhammad Azmir dan Asrul Aimran Abd. Jalil dari Kayang sebagai calon Menteri Besar dari parti itu.

Bagaimanapun, menurut sumber kepada Utusan Malaysia, nama Muhammad Azmir adalah calon terkuat daripada Pas untuk dipersembahkan kepada Raja Perlis.

Kata sumber itu, Muhammad Azmir juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Mohd. Shukri dan di peringkat pusat.

“Dalam lima calon Pas yang tinggal iaitu Razali Saad (Simpang Empat), Haziq Asyraf Dun (Beseri), Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Asrul Aimran Abd. Jalil dari Kayang, Muhammad Azmir menjadi calon terkuat untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar.

“Sebelum ini, nama Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) yang disebut-sebut sebagai calon (Menteri Besar) namun kedua-dua mereka sudah terhenti keahlian Pas dan kerusi juga sudah dikosongkan.

“Apabila nama mereka sudah tidak ada, Muhammad Azmir menjadi antara pilihan terbaik yang ada dari Pas,” katanya.

Beliau berusia 45 tahun dan lepasan Universiti Al-Azhar Mesir ketika ini berperanan sebagai Exco agama serta pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Penerangan Pas negeri, Ketua Dewan Pemuda Pas negeri dan Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Padang Besar sebelum tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Selepas kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15, Muhammad Azmir pernah menjadi antara nama disebut-sebut calon Menteri Besar sebelum Mohd. Shukri yang ketika itu Pesuruhjaya Pas Perlis merangkap Pengerusi PN negeri dilantik mengisi jawatan berkenaan.

Di dalam parti dan pentadbiran negeri, Muhammad Azmir dilihat mempunyai karakter yang tenang meskipun jarang ke depan dalam isu-isu berbangkit.

Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) dan Megat Hashirat Hassan (Pauh).

Jika calon dari Bersatu diangkat, Abu Bakar dilihat antara dilihat paling berpotensi berikutan prestasi cemerlang sebagai Exco dan wakil rakyat DUN Kuala Perlis di samping kedudukan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri merangkap Timbalan Pengerusi PN Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN