PETALING JAYA: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) adalah atas kepentingan dalam usaha memastikan negara kekal selamat, berdaulat dan makmur.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MoU itu bersifat tidak mengikat daripada segi perundangan dan telah dirundingkan sejak lima tahun lalu iaitu pada 2020.
Beliau berkata, pemeteraian MoU itu tiada kaitan dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai pada 26 Oktober lalu iaitu ketika Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara.
“Kandungan MoU Kerjasama Pertahanan ini tertumpu kepada aktiviti-aktiviti dua hala antara Malaysia dengan AS merangkumi pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan dan eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan serta bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama melalui Malaysia-US Strategic Talk (MUSST) yang telah dilaksanakan sejak 2008.
“Pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara rakan adalah instrumen diplomasi pertahanan seperti yang digariskan dalam Tonggak Ketiga, Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang telah dilancarkan pada 2019 ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Ketujuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir pada Khamis lalu mengenai Perjanjian Kerjasama Pertahanan antara Malaysia dan AS.
Mohamed Khaled menegaskan, instrumen kerjasama pertahanan yang ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan dengan Jabatan Perang AS pada 30 Oktober lalu hanyalah MoU dan bukannya perjanjian.
Selain AS, beliau berkata, Malaysia turut menandatangani MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara lain seperti China (2016), Jepun (2018), Laos (2019), Indonesia (2022), Vietnam (2023) dan terkini dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 11 Disember lalu.
“Pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara ini termasuk AS adalah seiring dengan dasar luar negara yang neutral dan berkecuali serta mendukung komitmen negara kepada deklarasi Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) yang ditandatangani oleh negara anggota ASEAN sejak 1971,” katanya. – UTUSAN










