SEREMBAN: Polis masih menyiasat motif sebenar suspek kejadian letupan peranti buatan sendiri (IED) di Nilai di sini pada 22 Disember lalu termasuk tujuannya menghasilkan puluhan bahan letupan tersebut.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, proses merakam percakapan terhadap suspek yang diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya, Yeoh Hock Sun, 62, masih belum dapat dilakukan ekoran keadaan suspek yang masih lemah.
“Kecederaannya kita boleh kategorikan sebagai agak serius dan kami akan menjalankan siasatan sebaik mungkin kerana ingin mengetahui apa motif sebenar dia membuat bahan-bahan letupan tersebut.
“Saya dimaklumkan dia sudah berpindah wad. Walaupun suspek sudah stabil tetapi dia masih belum bermaya dan proses rakaman percakapan belum dapat dijalankan sepenuhnya. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Pasukan Tindak Balas Bencana Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontijen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Alzafny berkata, kejadian letupan yang berlaku di Pangsapuri Desa Palma yang membawa kepada kecederaan serius suspek itu disahkan ekoran kesilapan pengendalian (mishandling) IED tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal, rakaman percakapan saksi serta lokasi persembunyian suspek yang jauh daripada kawasan awam, kami percaya suspek ini bergerak secara solo. Bagaimanapun, semua kemungkinan masih disiasat dan setakat ini motif sebenar suspek masih belum dikenal pasti,” katanya lagi.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kejadian letupan IED itu tidak menunjukkan sebarang unsur ekstremis atau kaitan dengan mana mana kumpulan atau organisasi jenayah.
Katanya, setakat ini siasatan mendapati kes itu berkemungkinan kejadian terpencil dan tidak berkait dengan mana mana rangkaian jenayah atau kumpulan terancang.
Beliau berkata, bahan yang dirampas di lokasi kejadian mempunyai unsur letupan dan siasatan kini tertumpu kepada tujuan bahan itu disimpan, sasaran yang mungkin disasarkan serta kemungkinan pembabitan pihak lain.
Media sebelum ini melaporkan suspek dikatakan bersembunyi di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai sebelum ditahan dalam keadaan lemah pada 27 Disember lalu.
Suspek ditemukan dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan kecederaan melecur pada muka, tangan dan kaki dan dipercayai bersembunyi di kawasan hutan berkenaan sejak kejadian letupan itu. – UTUSAN









