Mohd. Naim ambil tindakan undang-undang penyebaran fitnah di media sosial - Utusan Malaysia

Mohd. Naim ambil tindakan undang-undang penyebaran fitnah di media sosial

MOHD. NA’IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran tuduhan fitnah yang didakwa mengaitkan beliau dengan dakwaan tidak benar di media sosial.

Mohd. Na’im berkata, firma guaman yang mewakilinya telah mengeluarkan notis tuntutan terhadap seorang individu ekoran penerbitan satu kandungan di Facebook yang disifatkan sebagai berunsur fitnah dan berniat jahat.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja mengandungi dakwaan tidak berasas, malah membawa maksud yang boleh menjejaskan reputasi, maruah serta kedudukan beliau sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Malaysia, selain mencemarkan integriti institusi Hal Ehwal Agama.

“Sehubungan itu, tindakan undang-undang yang diambil adalah bagi mempertahan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, individu tersebut mendakwa menteri-menteri adalah dalang berlakunya maksiat dan budaya songsang.

Video tersebut turut memaparkan petikan berita berkaitan Mohd. Na’im berhubung operasi spa songsang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, semua dakwaan dibuat palsu dan tidak berlandaskan fakta, selain mengingatkan penyebaran fitnah merupakan kesalahan undang-undang dan bertentangan tuntutan Islam.

Beliau berkata, tindakan undang-undang diambil bukan bersifat peribadi, sebaliknya bertujuan memastikan platform digital tidak dijadikan medan untuk memanipulasi persepsi atau menyebarkan kebencian.

“Saya menghormati proses undang-undang. Tindakan seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak guaman mengikut lunas peruntukan undang-undang sedia ada.

“Fokus utama saya kekal kepada tugas amanah sebagai seorang menteri. Saya akan terus memberikan tumpuan kepada agenda Malaysia Madani, pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN