KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) dan Safety, Health and Environment Authority (SHENA), Brunei memperkukuh kerjasama strategik serantau dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) selaras dengan aspirasi pembangunan negara masing-masing serta keperluan industri masa hadapan.
Bagi tujuan itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dua hala yang bermakna dan produktif, baru-baru ini dengan memberi tumpuan khususnya dalam aspek perkongsian pengetahuan dan teknologi.
MiSHA dalam satu kenyataan memaklumkan, perbincangan yang menerokai kerjasama dua hala dengan SHENA itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan program pengiktirafan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pelaksanaan inisiatif bersama bagi memperkukuh piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat industri dan serantau.
Katanya, dalam mesyuarat sama, MiSHA menyuarakan hasrat mencalonkan SHENA sebagai penerima MiSHA Asia Country Award, mewakili Brunei sempena penganjuran MiSHA Asia Excellence Awards on OSH Principles of Prevention 2025 yang dijadual berlangsung 23 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Pencalonan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan dan komitmen SHENA dalam memperkukuh tadbir urus keselamatan, kesihatan dan persekitaran di Brunei,” katanya.

Delegasi MiSHA diketuai Timbalan Presidennya, Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar dan disertai Setiausaha Agung MiSHA, Mohamad Abdullah Sahry; Bendahari Agung MiSHA, Saiful Tarmaji, serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat dan Antarabangsanya, Mohd. Nazri Abdul Muin.
Mesyuarat pula dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SHENA, Muhsin Ahmad dan dihadiri oleh barisan pengurusan kanan SHENA termasuk Hazmin Hatta Hamzah; Pengarah Bahagian Penguatkuasaannya, Hairol Nizam Mokti; Pengarah Bahagian Keselamatan Proses; Hairul Yusrin Abdul Rahman dan Pemangku Pengarah Bahagian Siasatan dan Tindak Balasnya, Umi Khadijah Mohd Zaini.
Menurut kenyataan itu, SHENA menghargai dan kagum dengan komitmen serta inisiatif proaktif MiSHA dalam membantu industri tempatan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, usaha MiSHA dalam membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sejak usia muda melalui Program OSH di Sekolah turut menerima maklum balas yang sangat positif.
“Hasil perbincangan kedua-dua pihak menyatakan kesediaan dan komitmen untuk meneroka peluang kerjasama strategik yang lebih erat pada masa hadapan.
“Ia demi memperkukuh budaya keselamatan, kesihatan dan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negara masing-masing serta keperluan industri masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Abd. Mutalib berkata, perbincangan itu membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara MiSHA dan SHENA, khususnya dalam usaha memperkasa prinsip pencegahan KKP, meningkatkan keupayaan industri serantau serta memupuk budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara mampan merentas negara. – UTUSAN










