KUALA LUMPUR: Lawatan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) ke Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan awam bersama rakan strategiknya, Cambodia Safety Solution Organization (CAMSAFE).
Lawatan empat hari itu mencerminkan komitmen berterusan MiSHA dalam memperluas jaringan kerjasama di peringkat ASEAN khususnya dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, keselamatan jalan raya, pendidikan keselamatan komuniti serta pembangunan bandar yang selamat dan mampan.
Ia juga menjadi platform penting untuk pertukaran pandangan, perkongsian pengalaman dan pemahaman terhadap pendekatan keselamatan serta kesihatan awam di negara serantau.
Sepanjang lawatan itu, delegasi MiSHA mengadakan beberapa pertemuan dan kunjungan termasuk ke CAMSAFE yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dua hala serta pengiktirafan pencapaian organisasi tersebut dalam mempromosikan prinsip pencegahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Kemboja.
Persatuan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam pertemuan tersebut, MiSHA membincangkan pencalonan CAMSAFE sebagai pemenang bagi Kemboja di bawah MiSHA Asia Country Award on OSH Principle of Prevention (OSHPoP) 2025 yang mewakili negara itu di peringkat serantau.
Selain itu, katanya, kedua-dua pihak membincangkan potensi kerjasama dua hala, termasuk jemputan kepada wakil CAMSAFE untuk menyertai MiSHA Asia Leadership Symposium 2026 sebagai penceramah atau ahli panel, serta kerjasama dalam mencalonkan syarikat atau organisasi Kemboja sebagai finalis MiSHA Asia Excellence Awards on OSH Principles of Prevention 2026.
“Delegasi MiSHA juga mengadakan kunjungan ke Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan Awam Kemboja dengan tumpuan kepada aspek keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam.
“Mereka mewakili badan penyelaras peringkat nasional yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Kemboja dan dianggotai oleh pelbagai kementerian utama termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang berada di Phnom Penh, delegasi MiSHA menjalani beberapa sesi pemerhatian lapangan bagi memahami secara langsung amalan keselamatan, kawalan trafik, mod pengangkutan serta cabaran pembangunan bandar yang pesat.
Katanya, pemerhatian berkenaan memberikan pendedahan bernilai terhadap realiti keselamatan dan kesihatan awam di kawasan bandar membangun, sekali gus menjadi asas penting dalam merangka cadangan kerjasama dan inisiatif bersama pada masa hadapan.
“Delegasi ini juga sempat mengadakan lawatan ke Women’s Media Centre of Cambodia (WMC), sebuah organisasi media bukan kerajaan dan bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada tahun 1995 bagi memperjuangkan kesaksamaan gender, hak wanita dan demokrasi di Kemboja.
“Selain itu, dalam kesempatan yang sama, delegasi MiSHA dibawa mengadakan pertemuan dengan Persatuan Palang Merah Kemboja yang disambut oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan Kemboja, mencerminkan sokongan antara sektor terhadap usaha keselamatan, pendidikan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Delegasi MiSHA yang juga Timbalan Presidennya, Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar berkata, lawatan rasmi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang persatuan berkenaan untuk membina jaringan kerjasama strategik di peringkat Asia.
“MiSHA melihat Kemboja sebagai rakan strategik penting dalam memperkukuh agenda keselamatan dan kesihatan serantau. Melalui kerjasama dengan CAMSAFE dan pelbagai institusi tempatan, kami yakin pendekatan berasaskan prinsip pencegahan dapat diperkasakan demi manfaat masyarakat dan industri di rantau ini,” katanya. – UTUSAN










