TAPAH: MIC masih kekal bersama Barisan Nasional (BN) walaupun wujud polemik parti itu mahu menyertai pembangkang.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, setakat ini, MIC masih lagi bersama BN sehingga keputusan muktamad dibuat di peringkat majlis tertinggi.
“Majlis tertinggi akan bersidang (bermesyuarat) dalam masa terdekat dan memperhalusi semua pendapat sebelum membuat sebarang keputusan.
“Setakat ini, kita tunggu untuk tarikh mesyuarat bila Presiden balik daripada luar negara dalam masa terdekat.
“Mesyuarat itu memerlukan notis selama dua minggu sebelum dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyampaian bantuan komputer riba kepada 50 pelajar daripada keluarga B40 yang dapat menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan instisusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini hari ini.
Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti komponen yang meninggal gabungan itu tidak diterima semula, Saravanan menyokong penuh perkara tersebut.
“Betullah apa (Ahmad Zahid) cakap itu. Mana-mana parti keluar daripada BN terus keluar tak akan kembali.
“Saya pun setuju dengan beliau,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tapah.
Terdahulu media melaporkan Ahmad Zahid mengingatkan parti komponen BN supaya tidak menyesal sekiranya meninggalkan gabungan itu kerana parti terbabit tidak akan diterima kembali.
Mengenai perkembangan penyertaan MIC ke dalam Perikatan Nasional (PN), Saravanan menjelaskan, belum ada keputusan dibuat mengenai perkara tersebut. – UTUSAN










