MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan, risiko banjir

MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan, risiko banjir

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan beberapa kawasan di Sarawak, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Amaran tersebut meliputi kawasan Bintulu, Sebauh serta Miri Subis, Beluru dan Marudi, manakala beberapa daerah lain termasuk Sibu, Mukah dan Tatau diletakkan di bawah status waspada.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan berisiko diminta berwaspada terhadap peningkatan paras air sungai dan potensi limpahan, khususnya di lokasi rendah dan berhampiran tebing.

Mengenai amaran tsunami yang dikeluarkan di Jepun, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, amaran tsunami di Jepun telah ditamatkan dan pusat gempa yang berlaku berada jauh dari Malaysia sehingga tidak menimbulkan kesan signifikan terhadap negara.

Menurutnya, pemantauan menerusi Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) mendapati keadaan laut negara stabil dan tidak menunjukkan sebarang ancaman kepada Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Walaupun Malaysia tidak terjejas, pemantauan rapi terhadap aktiviti seismik serantau serta perubahan corak cuaca terus dilakukan 24 jam sehari melalui SAATNM dan sistem ramalan cuaca jabatan. Langkah itu penting bagi memastikan amaran awal dapat dikeluarkan sekiranya terdapat situasi luar jangka.

“MetMalaysia memperkukuhkan kesiapsiagaan melalui pemantauan berterusan dan bekerjasama dengan NADMA bagi memastikan tindakan segera serta penyelarasan yang berkesan dapat dilakukan sekiranya berlaku bencana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, kerjasama antara agensi amat penting ketika negara kini berada dalam fasa monsun yang membawa peningkatan risiko banjir, ribut petir serta angin kencang di beberapa wilayah.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan, termasuk pihak berkuasa negeri akan dimaklumkan bagi mengadakan persediaan lebih awal.

MetMalaysia menasihatkan masyarakat supaya peka terhadap amaran terkini dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air serta pengguna jalan raya yang berdepan risiko banjir kilat.

“Orang ramai diingatkan untuk mengikuti laporan cuaca semasa melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial Jabatan Meteorologi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN