Mengupas Papa Zola, sebuah antidot krisis moden - Utusan Malaysia

Mengupas Papa Zola, sebuah antidot krisis moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Papa Zola The Movie (PZTM), ejen risikan PAPA (Protect And Prevent Agency) percaya makhluk asing cuba menakluki bumi dengan satu cara, iaitu menempatkan Power Sphera Cimubot di beberapa bandar besar dunia. Kota-kota dan orang di dalamnya akan berubah menjadi simulasi seperti permainan video.

Ada yang berubah menjadi raksasa di dalamnya, termasuklah orang yang kita cinta. Ketika teknologi Cimubot dikuasai orang rakus, semuanya menjadi samar-samar antara fantasi dan nyata. Apa yang kita pandang berubah bagai di dalam sebuah dimensi permainan video, namun begitu, keganasan dan malapetaka yang berlaku tetap terjadi di dunia nyata walaupun selepas simulasi itu berjaya dipadamkan.

Kerakusan ini tidak berlaku semalaman, makhluk asing dan tali barutnya, tekun menyusun strategi, menghasilkan permainan video yang tular, menunggang manusia-manusia yang mengisi kepuasan hidup dengan selera rendah, rela beratur panjang demi membeli sebuah permainan yang viral bagi mengelak ‘FOMO’, iaitu rasa gelisah dan menyesal jika tidak miliki apa yang orang ramai sedang miliki. Kesannya, Cimubot lebih canggih, cukup hanya mempengaruhi satu kota sahaja, mereka berkuasa untuk menakluk dunia.

Ketika cuba memahami dunia simulasi dalam PZTM, kita akan menemukan dua perkara, pertama, setiap yang terjadi adalah nyata walau apa yang kita lihat seperti fantasi. Kedua, orang yang kita kenal boleh bertukar menjadi yang paling asing. Kita menjadi dua kutub yang menolak kewujudan masing-masing.

Berdasarkan ini sahaja, saya melihat PZTM menyinggung hal lebih besar iaitu tentang social acceleration atau saya terjemah sebagai pecutan sosial, sebuah teori yang diperkenalkan ahli sosiologi Jerman, Hartmut Rosa.

Intinya begini, kita melihat hidup seharian berubah sangat laju baik dari sosial mahupun teknologi. Kita tidak sempat pun menyesuaikan diri, sekali gus mengakibatkan kita tidak sempat juga mengisi makna, memproses emosi dalam hidup kita.

Impak social acceleration bercambah, bersepai kepada sesuatu lebih mustahak seperti rasa cepat burnt out, juga tidak cukup masa mengisi hidup dengan pengalaman bermakna.

Kesannya? Itulah sebabnya wujud FOMO, rasa gelisah kita yang tiada pengalaman. Oleh itu, kita fikir perlu untuk ambil pengalaman orang lain untuk dipakai ke kasut kita. Jika orang lain harus beratur beli model permainan video terbaharu di depan Bintang Hill, kita pun berasa harus berebut juga.

Ketika perkara-perkara ini berlaku, mudah untuk kita berasa alien, atau terasing, kita akan mempertanyakan fungsi hidup kerana kemahiran kita tidak berjaya mengejar apa yang diinginkan kehidupan moden serba laju.

Bagaimanapun, perkara yang paling mustahak adalah bagaimana dalam proses serba laju ini, kita kehilangan rasa cinta dan hubungan yang bermakna sesama manusia.

Saya melihat PZTM menyindir itu semua apabila memperlihatkan di dalam dunia simulasi, orang yang kita sayang bertukar menjadi raksasa. Kita jadi tidak kenal ‘wajahnya’ yang sebenar.

CINTA SEORANG AYAH

Sebelum menonton cerita ini, saya terbaca seorang bapa memuat naik sepucuk surat cinta pemberian anaknya bertulisan tangan. Anaknya mengucapkan terima kasih kerana membesarkannya selama ini. Menurut perkongsian tersebut, anaknya itu berbuat demikian selepas mereka sekeluarga menonton Papa Zola.

Selepas saya pergi menonton Papa Zola The Movie sendirian, dalam panggung di suatu petang yang dipenuhi keluarga dan anak-anak mereka, saya faham mengapa filem ini meraih angka kutipan membanggakan. Pembikin filem ini, Nizam Abdul Razak, sebenarnya telah menawarkan sebuah antidot kepada sebuah kritis moden seperti dihujahkan Hartmut Rosa tadi dalam sosok seorang Zola.

Ketika social acceleration dibahaskan, pakar sosiologi turut mengu­sulkan jalan keluar iaitu resonan­ce, memba­ngunkan makna dalam hubungan dan hidup kita seharian.

Zola, sebagai ketua keluarga, menun­jukkan kepada kita sifat-sifat seorang bapa yang lucu, rajin serta pandai menyembunyikan luka.

Zola tidak mengajarkan Pipi, anaknya bermain telefon, tetapi bergulir dengan cerita rakyat dan buku-buku. Dia membangun makna, memperlahan hidup dari segala keghairahan yang muncul di paparan telefon. Zola, Pipi, dan Zila tidak memiliki gaya rumah estetik seperti yang muncul di FYP anda, tetapi cukup bahagia hanya dengan berkumpul di meja makan bersama-sama.

Zola dengan segala kenaifan yang tersisa, memberikan kredit kepada seorang pejuang keluarga yang sebenar mengingatkan saya kepada tulisan Zainal Rashid Ahmad menerusi bukunya Anekdot Jalanan. Lebih kurang begini katanya, seorang bapa pandai menyembunyikan luka, tidak banyak berkata kerana menyimpan rasa bersalah kerana tidak mampu menunaikan apa yang dihajatkan anak-anaknya.

Namun PZTM menelanjangkan emosi yang memberat dan rasa cintanya kepada keluarga sepanjang 110 minit tayangan walaupun saya tidak bersetuju lagu Batas Senja dipilih untuk melatari adegan penting dalam filem ini.

Kata orang, sebuah filem akan menunjukkan kepada kita niat sebenarnya dan apa yang disembunyikan pembikinnya. Sepanjang menonton PZTM, saya dapat melihat ketulusan Nizam sebagai seorang bapa dan filem ini adalah surat cintanya kepada keluarga dan orang yang dicintanya.

Hasrat itu ketara dan dirasai di panggung dengan suara kanak-kanak yang bersorak dan menjerit setiap kali adegan perlawanan muncul, juga bunyi bapa menarik hingus menahan hiba yang menyucuk di ruang dadanya. Indahnya melihat bagaimana sebuah filem memulangkan kita kepada rasa menjadi manusia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN