PETALING JAYA : Tangisan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai menjadi punca dia dipukul oleh anak pengasuh sehingga mengakibatkan lebam di mata kiri, dalam kejadian di sebuah rumah di Batu Muda, Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek bertindak agresif selepas terganggu oleh tangisan kanak-kanak ketika sedang berehat.
Suspek, seorang remaja berusia 18 tahun yang juga anak pengasuh terbabit, telah ditahan semalam dan direman empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut.
“Kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kejadian disedari apabila ibu mangsa hadir untuk mengambil anaknya kira-kira pukul 4.30 petang dan mendapati mata kanak-kanak tersebut lebam.
Ibu bapa mangsa segera membawa anak mereka ke HKL untuk rawatan perubatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Jinjang.
Polis kemudiannya mengesan remaja terbabit selepas dia dipercayai menghilangkan diri sejurus insiden.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak. – UTUSAN










