Sebagai warga emas orang kurang upaya (OKU) yang telah menghabiskan sebahagian besar hidup dengan buku, pesta buku sentiasa menjadi ruang yang saya tunggu-tunggu.
Di situlah saya kembali merasa muda; di celah-celah rak dan kertas, saya menemui dunia yang tidak pernah menolak sesiapa. Namun, apabila saya menghadiri pesta buku di tanah air, saya sering pulang dengan perasaan bercampur-baur antara cinta terhadap buku dan kekecewaan terhadap kurangnya keterangkuman.
Malaysia terkenal dengan pesta buku besar seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (PBAS).
Kedua-duanya menjadi tumpuan ratusan ribu pengunjung setiap tahun. Namun, meskipun lebih 30 peratus rakyat Malaysia berada dalam spektrum OKU menurut anggaran PBB meliputi pelbagai kategori seperti mobiliti, pendengaran, penglihatan, neurodiversiti dan penyakit kronik, pesta buku di negara ini belum benar-benar mencerminkan realiti masyarakat tersebut.
Kemudahan Ada, Keterangkuman Belum Wujud
Saya tidak menafikan bahawa penganjur menyediakan akses fizikal seperti laluan kerusi roda, lif dan tandas OKU. Namun akses fizikal bukan akses budaya. Kemudahan membolehkan saya memasuki dewan, tetapi tidak menjadikan kehadiran saya bermakna.
Di pentas utama PBAKL atau PBAS, nama penulis OKU jarang sekali muncul. Tiada sesi wacana tentang pengalaman mencipta karya sebagai penulis berkeupayaan khas, tiada diskusi mengenai penerbitan inklusif, dan tiada pelancaran buku braille atau audio yang dipromosikan secara besar-besaran.
Penganjur seolah-olah berkata: “Kami sediakan laluan masuk, tetapi suara kamu tidak perlu berada di atas pentas.”
Pengalaman itu menyedihkan kerana komuniti OKU sebenarnya kaya dengan kisah dan bakat. Ramai yang menulis cerpen, novel, puisi dan autobiografi; ada yang menaip dengan satu tangan, ada yang menggunakan perisian suara, ada yang berkarya walaupun penglihatan kabur. Namun karya-karya ini jarang diberi ruang sewajarnya.
Tiada Insentif untuk reruai OKU
Setiap tahun saya melihat reruai penerbit besar berkembang, manakala penerbit kecil terutamanya yang dikendalikan komuniti OKU dan tidak mampu menyewa ruang kerana kosnya tinggi. Reruai di pesta buku lazimnya diberikan kepada siapa yang mampu membayar, bukan kepada siapa yang membawa nilai sosial.
Jika benar negara menghargai keterangkuman, mengapa tiada subsidi khas untuk penerbit OKU? Mengapa tiada potongan bagi gerai yang mempromosikan bahan pendidikan inklusif, buku braille atau buku berkaitan OKU? Tanpa insentif sebegitu, karya OKU akan terus kekal di pinggiran.
Kekurangan Judul Buku Berkaitan OKU
Di luar negara, rak khusus mengenai disability studies dan literatur OKU mudah ditemui. Pesta buku antarabangsa menyediakan ruangan khas untuk buku braille, buku audio, buku bercetak besar, malah buku taktil untuk kanak-kanak.
Di Malaysia, buku OKU muncul hanya sekali-sekala, itu pun dalam jumlah kecil dan tiada promosi besar-besaran.
Persoalannya, bagaimana masyarakat mahu memahami pengalaman OKU jika bahan bacaan berkaitan tidak dipromosikan? Bagaimana penerbit mahu menerbitkan lebih banyak buku jika tiada peluang menonjolkan karya di pesta buku nasional?
Pengalaman di Luar Negara: Jurang yang Ketara
Saya berpeluang mengunjungi pelbagai pesta buku antarabangsa di seluruh dunia: Frankfurt, London, Paris, Kaherah, Abu Dhabi, Dubai, Sharjah, Jakarta, Singapura, Beijing, San Francisco dan lain-lain. Setiap kunjungan membuka mata saya bahawa keterangkuman bukan angan-angan; ia boleh dilakukan dengan terancang.
Di Frankfurt, terdapat zon teknologi pembacaan bagi pengunjung cacat penglihatan. Buku braille dipamerkan dengan megah, bukan disorokkan. Di London dan Paris, bengkel penulis OKU dianjurkan dengan sokongan kerajaan. Abu Dhabi dan Dubai pula menyediakan sukarelawan terlatih yang membantu pengunjung OKU memahami pameran dan buku baharu.
Di Sharjah, penganjur memberi potongan sewa reruai kepada organisasi OKU. Di Jakarta dan Singapura, ada sesi bacaan untuk komuniti pekak dan autisme. Beijing mempamerkan inovasi buku digital yang direka khas untuk pembaca berpenglihatan rendah. San Francisco menonjolkan buku alternatif format dan hak cipta akses.
Semua ini menunjukkan komitmen: pesta buku ialah ruang untuk semua, bukan hanya untuk yang mampu berdiri lama atau berjalan tanpa halangan.
Apa yang Malaysia Perlu Pelajari
Jika pesta buku adalah cermin masyarakat, maka cermin itu perlu menunjukkan seluruh wajah negara termasuk wajah yang senyap, terluka, namun tetap ingin membaca.
Malaysia boleh memulakan perubahan melalui langkah-langkah seperti:
Menjemput penulis OKU ke pentas utama.
Memberi potongan harga sewa reruai kepada organisasi dan penerbit OKU.
Mengadakan sesi wacana berkaitan literatur dan pengalaman hidup OKU.
Mempromosikan buku braille, buku audio dan buku bercetak besar.
Menyediakan sukarelawan terlatih untuk membantu pengunjung OKU.
Mengiktiraf penulis OKU melalui anugerah khusus.
Membina katalog inklusif untuk pembaca pelbagai keperluan.
Semua ini bukanlah kos, tetapi pelaburan untuk membina budaya membaca yang benar-benar bersifat nasional.
Membuka Pintu yang Lebih Besar
Sebagai warga emas OKU, saya tidak mahu simpati. Saya mahu pengiktirafan. Saya mahu sebuah pesta buku yang menerima kami sebagai sebahagian daripada ekosistem penerbitan, bukan sekadar statistik dalam laporan.
Buku telah menjadi sahabat saya sejak kecil. Saya percaya pesta buku boleh menjadi ruang penyatuan jika penganjur benar-benar melihat nilai manusia, bukan sekadar angka pengunjung atau jualan gerai.
Andai keterangkuman menjadi prinsip, bukan hanya pilihan, maka pesta buku di Malaysia bukan sahaja meriah, tetapi bermaruah. Dan dalam ruang itu, suara kami akhirnya akan didengari. – UTUSAN










