PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) melantik Mazuki Abdullah @ Muhammad sebagai Pengarah Urusan Kumpulan baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Menurut kenyataannya, Mazuki ketika ini merupakan Ketua Bersama Bahagian Hartanah di Permodalan Nasional Berhad (PNB), di mana beliau menyelia portfolio hartanah domestik bernilai lebih RM12 bilion merangkumi bank tanah, hartanah pelaburan, aset perindustrian dan logistik serta projek pembangunan.
Beliau turut terlibat dalam pembangunan projek mercu tanda Merdeka 118, selain platform pelaburan hospitaliti Kumpulan PNB.
Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang hartanah, strategi korporat dan pelaburan institusi, Mazuki diyakini mampu menerajui PHB ke fasa pertumbuhan seterusnya.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Perakaunan dan Kewangan dari University of Kent, Canterbury, United Kingdom.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB ketika ini, Mohamad Damshal Awang Damit akan menamatkan kontraknya pada 31 Disember 2025 selepas menerajui syarikat itu sejak 1 Januari 2023.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Mohamad Damshal memimpin pelaksanaan beberapa inisiatif strategik utama bagi memperkukuh operasi PHB, memperkemas kerangka tadbir urus serta budaya profesional, selain mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.
Dalam tempoh tersebut, PHB merekodkan peningkatan pendapatan dan keuntungan, di samping mencatat kadar penghunian lebih baik bagi aset komersial milik syarikat.
Berlandaskan asas kukuh yang telah dibina, PHB kini berada pada kedudukan baik untuk meneruskan strategi pertumbuhan ke arah mencapai sasaran 2027.
Lembaga Pengarah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohamad Damshal atas kepimpinan serta sumbangan beliau dalam memantapkan asas PHB sepanjang tiga tahun lalu. –UTUSAN










