PETALING JAYA: Penyanyi, Nubhan, 39, enggan mengambil serius terhadap segelintir pihak yang mahu melihat dia kecundang dalam pertandingan Gegar Vaganza ke-12 (GV12) disebabkan isu perceraian dengan bekas isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Malah kata pemilik nama penuh Ahmad Nubhan Ahamad, dia akan terus berjuang selagi ditakdirkan masih berpeluang untuk meneruskan perjalanan dalam pertandingan tersebut.
“Saya tak mahu ambil serius pasal hal itu (komen negatif netizen). Biasalah, pasti akan ada orang yang suka dan tak suka kita.
“Saya sekarang ini hanya mahu beri yang terbaik untuk GV12. Jika ada rezeki untuk melangkah ke minggu seterusnya, saya kenalah teruskan. Kalau tidak, saya pulang jual sambal sahajalah,” katanya.
Nubhan pada 2 Disember lepas sah bercerai talak dua dengan Dr. Afifah di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Kata bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-6 itu, dia sedar masih ada netizen yang mengecamnya gara-gara perceraian tersebut.
“Saya maklum, tapi ambil tahu tidaklah. Saya pun tak baca sangat komen di media sosial,” ujarnya.
Nubhan dalam pada itu memaklumkan tidak terasa hati apabila kisah perceraiannya dijadikan bahan guraun dalam GV12.
“Itukan sekadar gurauan. Selagi tidak berlebihan atau melampau batas, bagi saya okey.
“Saya sekarang ini cuma nak tumpukan kepada perkara-perkara yang positif sahaja,” kongsinya. – UTUSAN










