KUANTAN: Masalah sistem perparitan dikenal pasti sebagai punca utama kampus Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) di sini ditenggelami banjir selama lebih dua hari, sekali gus memaksa kira-kira 150 pelajar dan kakitangan dipindahkan ke lokasi selamat.
Insiden pada 17 Disember lalu itu menenggelamkan keseluruhan kawasan kampus dan menjadi kejadian keempat sejak 2003, dengan rekod paling buruk berlaku pada 2021.
Pendaftar UniPSAS, Mohd. Faizul Abdul Hadi Nor berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan paras air Sungai Belat meningkat mendadak sebelum melimpah ke kawasan berhampiran dan seterusnya memasuki kampus.
“Setiap kali hujan lebat di Gambang atau Seri Damai, air akan mengalir dalam jumlah yang besar ke arah UniPSAS. Mungkin sistem perparitan di Seri Damai perlu dinaik taraf.
“Banjir pada 17 Disember itu menjejaskan keseluruhan kampus, dengan paras air yang tinggi di beberapa kawasan dan lebih cetek di kawasan lain. Namun, kali ini banjir tidak meninggalkan lapisan lumpur tebal seperti kejadian sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika operasi pembersihan pasca banjir di kampus hari ini.
Operasi pembersihan pasca banjir hari ini melibatkan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), belia Pahang 1st, kakitangan serta pelajar UniPSAS.
Hujan berterusan akibat Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan keseluruhan kampus ditenggelami air sekitar pukul 12.30 tengah malam pada 17 Disember, dengan paras air mencecah sehingga satu meter di beberapa kawasan.
Seramai 135 pelajar yang tinggal di asrama dipindahkan menggunakan bot kira-kira pukul 5 petang pada hari yang sama. UniPSAS mempunyai seramai 240 kakitangan termasuk pensyarah serta 2,100 orang pelajar.
Sementara itu, Mohd. Faizul berkata, semua pelajar ijazah pertama dibenarkan pulang ke kampung halaman dan akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga semester baharu bermula pada pertengahan Februari.
“Susulan MTL, UniPSAS sudah mengaktifkan pelan pengurusan bencana, membolehkan pelajar senior mengikuti kuliah secara dalam talian dari rumah.
“Hanya pelajar semester pertama yang mendaftar awal bulan ini berada di asrama semasa banjir. Kebanyakan mereka kini telah pulang ke rumah dan akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sehingga pertengahan Februari,” katanya.
Menurutnya, penilaian kerugian akibat banjir masih dijalankan, melibatkan kerosakan terhadap beberapa perabot dan pagar.
Beliau berkata, kampus itu sebelum ini turut terjejas akibat banjir pada 2003, 2014 dan 2021, dengan anggaran kerugian antara RM500,000 hingga RM1 juta. – UTUSAN










