PETALING JAYA: Marhamah Rosli tampil mempertahankan dirinya susulan dakwaan yang mengaitkan dirinya mengenai dana salah guna dalam pengurusan ‘Tabung Justice for Zara’ bagi menampung kos proses inkues.
Marhamah yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu berkata, akaun tabung berkenaan diasing sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah dipengerusikannya.
Malah, kata beliau, tabung tersebut mempunyai nama tersendiri yang melibatkan melibatkan ibu Zara Qairina Mahathir, beberapa peguam, serta jawatankuasa NGO.
Setakat 9 pagi hari ini, jumlah kutipan tabung berkenaan adalah RM254,995.92 dengan baki RM96,059.97 selepas mengambil kira perbelanjaan, termasuk kos pengangkutan, dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara sepanjang persiapan dan perjalanan inkues.
“Sepanjang proses inkues ini kami melibatkan beberapa saksi pakar, jadi kos pengangkutan dan penginapan mereka menggunakan tabung ini. Begitu juga kos pengangkutan dan penginapan keluarga Zara Qairina untuk menghadiri mesyuarat dan persiapan inkues turut ditanggung menggunakan tabung ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Marhamah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi menggantikan Dr. Zulkifli Hasan yang dinaikkan sebagai menteri bagi portfolio sama.
Mengulas lanjut, Marhamah berkata, kutipan tersebut sudah mendapat permit Jabatan Ketua Menteri dan dimaklumkan kepada polis Sabah, selain laporan lengkap sehingga November 2025 telah disediakan.
“Kami memang bersedia untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa (untuk diaudit),” katanya, sambil menambah baki dana sedia ada dijangka tidak mencukupi memandangkan proses inkues masih berjalan.
Sementara itu, beliau menegaskan keperluan untuk semua pihak memberi ruang kepada proses inkues yang sedang berjalan.
Katanya, beliau kekal memberikan sokongan berterusan terhadap keluarga pelajar berkenaan meskipun kini memegang jawatan dalam kerajaan.
“Saya sebagai seorang ibu kepada enam anak dan juga ahli masyarakat, sentiasa ingin berjuang dalam apa sahaja soal penindasan. Bukan hanya dalam kes ‘Justice for Zara’, tetapi juga perkara lain,” katanya.
Tambahnya, beliau memaklumkan dirinya tidak terlibat dalam penipuan melibatkan emas tetapi sebenarnya dirinya juga merupakan mangsa penipuan serta dikhianati dalam kes berkenaan.
“Saya bukan ejen. Setiap kali dipanggil, kami membuat laporan dan saya sentiasa memberi kerjasama penuh,” katanya. – UTUSAN










