PETALING JAYA: Malaysia mencadangkan penubuhan ASEAN Rural Development and Innovation Council (ARDIC) bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan luar bandar di Asia Tenggara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ARDIC bakal menjadi platform tetap untuk menyelaras dasar, berkongsi inovasi serta memperkukuh pembangunan luar bandar secara kolektif dalam kalangan 11 negara ASEAN.
Katanya, pelan tersebut dijangka menjadi pemangkin penting dalam memperkasa pertukaran teknologi, amalan terbaik dan kepakaran seluruh rantau.
“Malaysia akan memperkenalkan Hari Pembangunan Luar Bandar pada tahun hadapan. Ia selaras dengan pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menonjolkan peranan komuniti desa dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta membina kehidupan lebih baik untuk rakyat luar bandar.
“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh pembangunan luar bandar yang inklusif berasaskan inovasi, penglibatan komuniti, pendigitalan serta peluasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama kesejahteraan rakyat dan pembasmian kemiskinan.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memainkan peranan konstruktif dan berwibawa dalam kerangka ASEAN bagi memastikan komuniti luar bandar menjadi penerima manfaat utama pembangunan serantau menjelang ASEAN 2045,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan menteri pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan (AMRDPE) ke-14 di Bangkok, Thailand.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Thailand mengetuai delegasi Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia akan meneruskan pelaburan besar dalam infrastruktur luar bandar, termasuk RM2.3 bilion bagi 1,364 projek jalan dan RM195.2 juta bagi bekalan air bersih kepada 5,000 rumah.
“Ia merangkumi RM162.9 juta bagi memastikan bekalan elektrik luar bandar yang stabil kepada 2,010 penerima serta RM364.45 juta melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang membantu lebih 10,000 keluarga meningkatkan kualiti hidup.
“Usaha meningkatkan sosioekonomi luar bandar turut diperkukuh melalui sokongan kepada 55,400 usahawan, khususnya dari aspek pendigitalan bagi membolehkan mereka menembusi pasaran lebih luas di seluruh ASEAN,” katanya.
Menerusi mesyuarat berkenaan, Malaysia juga berkongsi mengenai inisiatif Desa Kirana yang mempromosikan 25 destinasi agro dan ekopelancongan bagi memastikan masyarakat luar bandar menikmati limpahan ekonomi sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Usaha-usaha ini semakin menunjukkan hasil apabila kadar kemiskinan tegar negara menurun kepada 0.09 peratus berdasarkan Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, berbanding 0.2 peratus pada 2022.
“Ini membuktikan strategi pembangunan luar bandar negara berada pada landasan yang tepat,” katanya. – UTUSAN










