PETALING JAYA: 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) menjadi antara kes terbesar yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam memerangi jenayah kewangan dengan pemulihan kira-kira €8 bilion aset oleh Malaysia antara 2019 hingga Februari 2025, menurut Financial Action Task Force (FATF).
Dalam Laporan Penilaian Bersama (MER) terbaharunya, FATF berkata, negara ini telah memulihkan €8.11 bilion sepanjang tempoh tersebut, di mana €6.08 bilion daripadanya dikaitkan dengan 1MDB.
“Sebahagian besar aset berkaitan 1MDB dipulihkan melalui tindakan pelucuthakan sivil dan perjanjian penyelesaian di luar negara.
“Bagaimanapun, kebimbangan mengenai baki €2.03 bilion pemulihan tidak berkaitan dengan 1MDB, kerana sebahagian besar daripadanya datang daripada tindakan berasaskan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Ini mencerminkan pergantungan yang tinggi terhadap kaedah pemulihan pentadbiran berbanding prosiding pelucuthakan jenayah,” katanya.
Jelas laporan itu, dari segi pelucuthakan jenayah, Malaysia lebih bergantung kepada pelucuthakan tanpa sabitan (non-conviction-based forfeiture) berbanding pelucuthakan berasaskan sabitan (CBF).
“Walaupun metodologi FATF tidak memihak kepada mana-mana bentuk pemulihan aset, penggunaan CBF yang rendah menunjukkan cabaran lebih besar dalam mendakwa dan mendapatkan sabitan bagi kesalahan pengubahan wang haram,” katanya.
Sementara itu, Presiden FATF, Elisa de Anda Madrazo berkata, penilaian mendapati Malaysia menyalurkan semula sumber daripada siasatan pengubahan wang haram lain untuk memberi fokus kepada kes besar 1MDB serta kes berkaitan.
“Walaupun keutamaan ini penting bagi siasatan kes kompleks dan memulihkan keyakinan awam, ia menjejaskan keupayaan agensi penguatkuasaan untuk mengejar kes pengubahan wang haram lain.
“Antara 2019 hingga Februari 2025, Malaysia telah menyabitkan 62 individu dan lima entiti perundangan kerana pengubahan wang haram, serta tujuh individu kerana pembiayaan keganasan.
“Walaupun jumlah sabitan pembiayaan keganasan meningkat sejak penilaian bersama terdahulu, kadar sabitan keseluruhan Malaysia masih rendah mengikut profil risikonya,” katanya. – UTUSAN










