MAIWP agih RM1.037 bilion dana zakat kepada asnaf setakat November - Utusan Malaysia

MAIWP agih RM1.037 bilion dana zakat kepada asnaf setakat November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan sebanyak RM1.037 bilion dana zakat setakat November ini kepada golongan memerlukan.

Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, dana itu dibelanjakan menerusi enam kluster utama beserta program dan inisiatif bagi menyantuni asnaf.

“Untuk rekod, sebanyak RM1.037 bilion dana zakat dibelanjakan menerusi enam kluster utama beserta program dan inisiatif bagi menyantuni asnaf memerlukan,” katanya pada Majlis Apresiasi dan Ramah Mesra MAIWP Bersama Media 2025 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Syed Kamarulzaman berkata, media berperanan sebagai nadi penting dalam membentuk kefahaman masyarakat terhadap usaha pembangunan asnaf dan pengurusan kebajikan ummah.

Katanya, hubungan erat antara MAIWP dan media bukan sahaja membantu menyampaikan maklumat tepat, malah memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap amanah besar yang dipikul mereka.

“Setiap berita, liputan, dokumentari dan laporan yang disiarkan oleh rakan-rakan media telah menjadi jambatan komunikasi antara MAIWP dan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, media memainkan peranan besar dalam membantu mengangkat pelbagai inisiatif MAIWP, termasuk program pembangunan ekonomi asnaf, Projek Bangkit, yang sedang diperkasakan.

“Komitmen peserta Projek Bangkit serta sokongan rakan strategik telah membuahkan hasil yang positif, malah usaha itu terus dipromosikan melalui kerjasama media.

“Dengan adanya sokongan berterusan daripada rakan-rakan media, lebih banyak kisah kejayaan dapat diketengahkan dan lebih ramai masyarakat akan memahami kepentingan zakat dan peranan MAIWP.

“Lebih ramai juga asnaf akan mendapat peluang untuk membina kehidupan baharu. Kerjasama ini bukan hanya antara institusi dan media, tetapi ia adalah kerjasama dalam membina masa depan ummah yang lebih sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN