SHAH ALAM: Pelakon, Adam Lee menegaskan penyertaannya dalam Kejohanan Fury Redemption bukan bertujuan mengejar gelaran juara, sebaliknya mahu membuka mata penerbit tempatan terhadap potensi sebenar pelakon aksi dalam industri hiburan tanah air.
Adam atau Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, berkata penglibatannya dalam sukan tempur itu didorong oleh hasrat besar untuk mengubah persepsi bahawa industri seni tempatan kekurangan pelakon yang mampu menjayakan naskhah aksi.
“Sejujurnya saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi. Menang atau kalah itu perkara biasa, tetapi tipulah kalau kata tidak mahu menang. Apa sahaja sukan yang disertai, sudah tentu kita mahu memberikan yang terbaik.
“Kalau boleh, saya tidak mahu orang mengata. Saya mahu perlawanan itu menjadi sedap mata memandang dan berkualiti.
“Tujuan utama saya menyertai perlawanan ini adalah untuk mengubah persepsi bahawa industri kita kekurangan pelakon aksi.
“Sebenarnya, kita tidak kekurangan pelakon aksi, cuma ramai yang tidak diberikan peluang dan sering kali individu yang sama sahaja dipilih,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di program Wham Pickleball With The Stars, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Adam mengakui sudah lama menyimpan impian untuk membintangi drama atau filem aksi, namun hasrat tersebut masih belum kesampaian meskipun sudah berkali-kali menghadiri uji bakat.
“Umur saya sudah 31 tahun dan kebanyakan orang mengenali saya menerusi watak romantik. Jadi, saya mahu keluar daripada kepompong itu dan menjadi pelakon yang versatil.
“Sebenarnya, sudah lebih satu dekad saya mengimpikan untuk berlakon dalam naskhah aksi. Saya sudah mencuba pelbagai cara termasuk menghadiri sesi uji bakat, tetapi masih belum diberikan peluang.
“Oleh itu, penyertaan saya dalam kejohanan ini adalah untuk membuka mata pihak atasan supaya memberi peluang kepada kami. Saya juga mahu membuktikan bahawa saya mampu membawa watak aksi,” jelasnya.
Bagaimanapun, Adam berharap kenyataannya tidak disalah tafsir memandangkan dia tidak pernah berasa iri hati terhadap rezeki rakan-rakan pelakon lain.
“Saya tidak rasa terkilan kerana setiap orang ada rezeki masing-masing. Cuma saya juga mahu diberikan peluang yang sama.
“Saya tidak akan berputus asa. Kalau hendak tahu, saya antara pelakon yang kerap menghadiri sesi uji bakat, tetapi akhirnya tidak terpilih atau digantikan pada saat akhir.
“Apa yang penting, kita tidak boleh meletakkan sifat dengki atau iri hati dalam diri. Kita kena percaya Allah akan memberikan sesuatu yang mungkin orang lain tidak miliki.
“Saya banyak belajar daripada isteri yang sentiasa memberi nasihat dan sokongan,” katanya.
Menerusi kejohanan tersebut, Adam bakal berdepan seorang lagi pelakon dan pempengaruh, Alif Muhaimin dalam kategori Lightweight Bout Muay Thai yang akan berlangsung di Arena Sukan, Kuala Lumpur pada 28 Disember ini. – UTUSAN










