Mahkamah Rayuan ‘memilih-milih’ keterangan kes Syed Saddiq

Mahkamah Rayuan ‘memilih-milih’ keterangan kes Syed Saddiq

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hadir prosiding di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayu­an gagal melihat setiap ketera­ngan mengikut kronologi kes sekali gus tidak dapat menilai kesemua keterangan secara objektif dan menyeluruh dalam kes pecah amanah melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mahkamah Rayuan juga terkhilaf selepas bertindak ‘memilih-milih’ keterangan yang dianggap sesuai sehingga gagal membuat penilaian secara kritikal dan adil.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, pihaknya sebagai perayu amat bergantung pada keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence) dan telah terjejas apabila Mahkamah Rayuan menolak banyak keterangan yang relevan terhadap bekas presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu.

“Apabila Mahkamah Rayuan gagal melihat keterangan mengikut kronologi kes, berlakunya pemutusan rantaian keterangan yang relevan sedangkan kesemua keterangan itu menjurus kepada kesalahan persubahatan.

Katanya, Syed Saddiq adalah dalang atau mastermind dalam perlakuan pecah amanah jenayah membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), tujuh tahun lalu

“Syed Saddiq telah memberikan arahan untuk mengeluarkan wang milik Armada disebabkan alasan-alasan yang jahat dan tidak jujur.

“Keterangan saksi ke-13, bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, menunjukkan dengan jelas bahawa beliau tidak akan mengeluarkan wang tersebut sekiranya tidak menerima arahan daripada Syed Saddiq,” katanya pada prosiding rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana Armada di Mahkamah Persekutuan di sini semalam.

Prodising itu didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais. Turut bersidang ialah Hakim-hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pendakwaan diwakili Wan Shaharuddin yang turut dibantu oleh Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq, 33, diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk S. Ambiga, Kee Wei Lon dan Lim Wei Jiet.

Wan Shaharuddin berhujah Mahkamah Rayuan tidak boleh pick and choose. Tindakan sedemikian telah mengakibatkan satu kesilapan yang tidak boleh diperbaiki.

“Sekiranya Mahkamah Rayuan membuat penilaian dengan lebih teliti dan kritikal, sudah tentu sabitan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh akan dikekalkan,” kata Wan Shaharuddin.

Beliau berhujah bahawa Hakim Bicara telah menilai semua keterangan secara menyeluruh dan tidak memilih keterangan-keterangan yang perlu ketika memutuskan kewujudan prima facie terhadap responden.

Namun, beliau kecewa apabila di peringkat Mahkamah Rayuan, panel hakim-hakim memilih untuk tidak mempertimbangkan keterangan-keterangan yang berkaitan dengan fakta.

“Ini kerana Mahkamah Rayuan sejak awal telah membuat satu inferens yang tidak berlandaskan keterangan, serta mendapati bahawa Rafiq memberikan keterangan yang disesuaikan mengikut kehendak SPRM. Ini merupakan satu tuduhan serius oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Pada 25 Jun lalu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN