PETALING JAYA: Lima stesen aras air di tiga daerah di Selangor direkodkan melepasi paras bahaya pagi ini berikutan hujan lebat serta ribut petir yang bermula sejak awal pagi tadi.
Menurut laman web rasmi Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, setakat pukul 7 pagi, stesen aras air yang melepasi paras bahaya melibatkan Pintu Air Rimba KDR, Sabak Bernam; Batu 12, Batu 15 dan Siren Batu 12 Kampung Sungai Serai, Hulu Langat; serta Jenderam Hilir, Sepang.
Pintu Air Batu 12 dan Jenderam Hilir turut menunjukkan trend bacaan meningkat.
Sementara itu, dua stesen di Hulu Langat melepasi paras amaran, iaitu di Pekan Bangi Lama (trend menaik) dan Batu 12 Sungai Serai Bung Toi (F2).
Sebanyak tujuh stesen lagi mencatatkan bacaan paras berjaga-jaga iaitu di Pintu Air Ijok, Kuala Selangor; Bukit Changgang, Kuala Langat; Bandar Klang dan Taman Desa Kemuning, Klang; selain Kampung Pasir, Pekan Kajang serta Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, Hulu Langat.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri susulan sehingga 9 pagi ini.
Menurut MetMalaysia, kawasan terbabit adalah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya
Daerah Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, di Perak, daerah Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera, Pekan dan Rompin, Pahang dan Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau, Negeri Sembilan.
Amaran turut dikeluarkan bagi daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah, manakala di Sarawak di daerah Bau dan Kuching di Bahagian Kuching, serta Samarahan dan Asajaya di Bahagian Samarahan. – UTUSAN










