Lima saintis muda diiktiraf sebagai penerima Anugerah Saintis Muda Negara 2025 meliputi lima kategori utama iaitu Biologi, Fizik, Kimia, Kejuruteraan dan Perubatan dalam majlis anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.
Pengiktirafan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menghargai penyelidik muda negara yang berjaya menyumbang inovasi serta kajian berimpak tinggi, seiring pembangunan ekonomi dan teknologi Malaysia menjelang 2030.
Majlis penganugerahan tersebut menyaksikan kelima-lima penyelidik muda berusia di bawah 40 tahun diraikan atas pencapaian masing-masing dalam memacu penyelidikan baharu dan berpotensi dikomersialkan.
Penganugerahan tersebut menjadi pelantar utama dalam merangsang kreativiti, daya inovasi dan penyelidikan yang memberi dukungan kepada ekosistem sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang berkata, saintis muda merupakan aset strategik negara yang mampu menerokai bidang teknologi kritikal pada masa hadapan.
“Saintis muda yang kita raikan hari ini merupakan aset strategik negara. Mereka bakal meneroka bidang-bidang teknologi kritikal termasuk kecerdasan buatan, bioteknologi dan kejuruteraan hijau yang akan memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global menjelang 2030,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara Tahun 2025 di ibu negara baru-baru ini.
Profesor Dr. Ong Wee Jun, 36, daripada Xiamen University Malaysia merupakan penerima bagi Kategori kategori Kejuruteraan berkata, menerusi penyelidikan berkenaan, terhasil teknologi solar-to-X conversion yang memanfaatkan cahaya matahari untuk menghasilkan hidrogen hijau serta bahan kimia bernilai tinggi.
Beliau berkara, teknologi yang dibangunkannya menggunakan nanokatalisis berasaskan cahaya matahari untuk memproses sisa seperti karbon dioksida, plastik serta air sisa kepada bahan tenaga baharu.
“Teknologi ini mampu mengubah karbon dioksida kepada metana atau hidrogen hijau menggunakan suhu bilik menerusi nanoteknologi dan cahaya matahari,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan tersebut.
Menurut Wee Jun, anugerah itu merupakan penghormatan besar selepas beberapa kali mencuba sebelum berjaya mendapat pengiktirafan kali ini.
“Perasaan saya sangat berbangga. Pencapaian ini bukan milik saya sahaja tetapi seluruh pasukan penyelidikan, keluarga serta rakan kerjasama yang banyak membantu dan membimbing,” ujarnya.
Bagi Profesor ChM. Dr. Mohd Hazwan Hussin daripada Universiti Sains Malaysia (USM) yang menerima bagi Kategori Kimia pula, kajian yang dijalankan adalah berkenaan penghasilan produk antikarat berasaskan sisa sawit.
Katanya, penyelidikan itu memfokuskan penghasilan bahan antikarat tidak toksik dan mesra alam yang dihasilkan sepenuhnya daripada sumber biomass sawit.
“Saya fikir pertandingan tahun ini sangat kompetitif dengan 85 pencalonan, namun kejayaan ini membuktikan saintis Malaysia sangat berbakat dan mampu bersaing,” ujarnya.
Pada majlis itu, tiga lagi penerima turut diraikan iaitu Prof. Madya Dr. Goh Hoe Han (Biologi) dan Ts. Dr. Puvaneswaran A/L Chelvanathan (Fizik) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Prof. Madya Dr. Chua Jia Xin (Perubatan) dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Anugerah tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sekali gus mengukuhkan usaha Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi. – UTUSAN










