Letak STPM bawah KPT risiko ‘gugat’ masa depan pelajar Melayu

Letak STPM, matrikulasi bawah KPT risiko ‘gugat’ masa depan pelajar Melayu

NIK SAIFUL ADLI BURHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Reformasi pendidikan tinggi yang sedang dirangka kerajaan untuk memindahkan program Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke Kementerian Pengajian Ting­gi (KPT) menimbulkan ke­bimbangan terhadap masa de­pan pelajar Melayu di luar bandar.

Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Nik Saiful Adli Burhan berkata, isu berkenaan bukan bersifat politik, sebaliknya menyentuh soal kelangsungan pembangunan pendidikan Melayu yang memerlukan dasar konsisten serta komitmen berterusan kerajaan.

Katanya, laluan STPM dan matrikulasi selama ini terbukti menjadi instrumen penting ekuiti pendidikan, khususnya kepada pelajar Melayu dan bumiputera dari kawasan pedalaman serta keluarga berpendapatan rendah untuk memasuki universiti awam.

“Ia selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Perseku­tuan dan sebarang penyelarasan baharu tidak boleh di­ja­dikan alasan untuk mengurangkan hak pendidikan Melayu dan bumiputera yang dijamin sejak merdeka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nik Saiful berkata, dalam proses reformasi pendidikan tinggi, kerajaan perlu memastikan tiada keputusan yang berisiko memperbesarkan jurang antara bandar dan luar bandar, yang sehingga kini masih ketara dari sudut kemudahan, sumber akademik dan sokongan pembelajaran.

Katanya, pelajar daripada sekolah pedalaman, latar keluarga miskin dan kawasan yang kekurangan prasarana akademik merupakan kumpulan paling terdedah jika perubahan dilaksanakan tanpa kajian mendalam dan pelaksanaan berperingkat.

“Penyelarasan antara STPM dan matrikulasi perlu bertujuan memperkukuh, bukan melemahkan, ekosistem pendidikan negara,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan merancang memindahkan program STPM dan matrikulasi ke bawah KPT bagi menyelaraskan proses penilaian serta laluan kemasukan ke universiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu antara perubahan besar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026–2035 yang dijangka dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×