Letak STPM bawah KPT persediaan awal sebelum ke universiti

Letak STPM bawah KPT persediaan awal sebelum ke universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha kerajaan memindahkan program Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ke bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) langkah proaktif bagi membantu pelajar membuat persediaan lebih awal sebelum melangkah ke alam universiti.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, inisiatif tersebut adalah keputusan tepat yang mampu memperkukuh landskap pendidikan negara, khususnya bagi laluan prauniversiti.

Kata beliau, meletakkan STPM di bawah KPT akan membuat ia selari dengan apa yang berlaku di peringkat tahun satu universiti.

“Jadi pelajar yang masuk Tingkatan Enam ini memang mereka mengharapkan akan dapat meneruskan pengajian mereka di peringkat universiti.

“Apabila KPT akan mengambil alih kolej itu, ia adalah satu proses yang baik sebab ia berkesinambungan dan pelajar-pelajar kita juga dapat membuat persiapan lebih awal termasuk dari segi psikologi dan pembelajaran,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kerajaan memindahkan program STPM serta Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke bawah KPT bagi menyelaraskan proses penilaian dan laluan kemasukan pelajar ke peringkat universiti.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pengambilalihan program itu merupakan antara perubahan besar yang akan dilakukan kerajaan dalam Pelan Pemba­ngunan Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035 yang kini menunggu masa sesuai untuk dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anuar berkata, pemindahan tersebut perlu memastikan budaya atau proses pembelajaran di Kolej Tingkatan Enam selari dengan pelajar-pelajar yang melalui peringkat lain di universiti.

“Ini termasuk segi amalan pembelajaran, silibus, mata pelajaran dan budaya di Kolej Tingkatan Enam. Ia perlu sama dengan peringkat-peringkat pendidikan lain di universiti,” katanya.

Tambahnya, beliau memberi sokongan penuh terhadap usaha memindahkan program tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN