GERIK: Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang seekor gajah liar di Jalan Kampung Pengkalan Permai, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9.30 pagi ketika mangsa berusia 30 tahun menaiki motosikal bersama rakannya.
Katanya, semasa kejadian, mangsa bersama rakan serta abangnya yang menunggang motosikal berasingan keluar untuk mencari hasil hutan.
“Sampai di lokasi kejadian, abang mangsa yang berada di hadapan ternampak seekor gajah di tepi jalan lalu bertindak memecut laju melintasi haiwan berkenaan.
“Mangsa dan rakannya yang berada di belakang bagaimanapun tidak sempat berbuat demikian, sebelum memberhentikan motosikal bagi menyelamatkan diri.
“Namun, gajah terbabit secara tiba-tiba menarik mangsa sehingga menyebabkan lelaki itu terjatuh ke dalam gaung, manakala rakannya sempat menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan sakit badan serta dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan.
Katanya, abang mangsa dan rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa memandu dan melalui laluan di RPS Air Banun kerana dikhuatiri terdapat hidupan liar yang melintas dan berada di atas jalan raya,” katanya.
Pada 10 Disember lalu, seorang lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggang melanggar seekor gajah liar di Kilometer 31, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS 150 R itu ternampak seekor gajah berada di atas laluan jalannya dan disebabkan jarak yang terlalu hampir, lelaki itu gagal mengelak lalu terlanggar haiwan tersebut.
Akibat kejadian itu, mangsa cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Gerik manakala motosikal mangsa mengalami kerosakan pelbagai. – UTUSAN










