KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki terbabit kes mencuri motosikal Honda EX5 di Taman Subang Mas, Subang Jaya dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, polis pada mulanya menerima laporan berhubung kehilangan motosikal itu pada 8 Disember lalu selepas seorang lelaki membuat laporan polis.
Menurutnya, motosikal itu dilaporkan hilang di Jalan Mutiara 1 dekat sini.
“Bertindak atas maklumat diperoleh, sepasukan polis Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Khas Balai Polis Subang Jaya membuat tangkapan ke atas suspek di Blok F Jalan 2 Taman Subang Mas dekat sini.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mencuri motosikal milik pengadu kemudian dengan dipandu arah oleh suspek menunjukkan kenderaan itu yang diletakkan di hadapan sebuah kedai Blok H Taman Subang Mas, di sini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wan Azlan berkata, semakan kad pengenalan suspek dapati mempunyai enam rekod jenayah dan tujuh rekod jenayah narkotik.
“Tangkapan dan rampasan dilakukan bagi siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“PDRM ingin menasihati orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan kepada balai polis yang berdekatan dengan kadar segera,” katanya. – UTUSAN










