GERIK: Seorang lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor gajah di Kilometer 31, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9.30 malam
Katanya, kemalangan sekitar pukul 9 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 36 tahun dan menunggang motosikal jenis Honda RS 150 R itu dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa ternampak seekor gajah berada di atas laluan jalannya dan disebabkan jarak yang terlalu hampir, lelaki itu gagal mengelak lalu terlanggar haiwan tersebut.
“Mangsa yang terjatuh segera melarikan diri manakala haiwan itu bertindak merosakkan motosikalnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, akibat kejadian itu, mangsa cedera ringan dan telah menerima rawatan di Hospital Gerik manakala motosikal mangsa mengalami kerosakan pelbagai.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa memandu dan melalui laluan berkenaan kerana dikhuatiri terdapat hidupan liar yang melintas dan berada di atas jalan raya,” katanya. – UTUSAN










