PUTRAJAYA: Lebih 100 bangunan kerajaan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur dikenal pasti berpotensi untuk diguna semula bagi kegunaan agensi kerajaan, kementerian serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada agar dapat memberi manfaat lebih besar kepada rakyat, khususnya dalam menyokong sektor kesihatan dan kebajikan.
Katanya, pendekatan pemanfaatan semula atau ‘repurpose’ bangunan itu dilaksanakan menerusi pembinaan Insektarium Wolbachia Putrajaya yang menggunakan bangunan lama tidak lagi beroperasi.
“Kita telah mengenal pasti lebih 100 bangunan yang sebenarnya boleh dimanfaatkan semula sama ada oleh NGO, agensi atau kementerian lain.
“Kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menggunakan bangunan-bangunan ini untuk tujuan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan kedua Insektarium Wolbachia Putrajaya, di sini semalam.
Beliau berkata, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah penggunaan bangunan berhampiran Hospital Kuala Lumpur untuk dijadikan kemudahan seperti hostel atau asrama jururawat, tertakluk kepada keperluan dan kesesuaian.
Menurut Dr. Zaliha, usaha itu selari dengan visi Putrajaya sebagai bandar pintar yang menekankan konsep bandar sihat, selain memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, beliau berkata, fasiliti berkenaan berfungsi sebagai pusat pembiakan terkawal nyamuk Aedes Wolbachia yang menggunakan kaedah biologi bagi menghalang perkembangan virus denggi, chikungunya, zika dan demam kuning dalam nyamuk.
Katanya, pelaksanaan teknologi Wolbachia sebelum ini di beberapa lokaliti Putrajaya menunjukkan keberkesanan ketara apabila pengurangan kes denggi di Presint 14 direkodkan sehingga 84.7 peratus, sekali gus mengukuhkan keberkesanan pendekatan saintifik dalam kawalan vektor. – UTUSAN











