IPOH: Kubur, tapak pelupusan sampah dan kawasan semak antara ‘port’ penagihan dadah yang diserbu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi operasi serentak di seluruh negara sejak Isnin lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, dalam serbuan di tapak pelupusan sampah, sepasang suami isteri berusia 65 dan 58 tahun ditahan dan didapati positif dadah.
Katanya, wanita tersebut merupakan klien yang masih menjalani pengawasan di bawah AADK Daerah Kinta, Ipoh manakala suaminya pula mempunyai rekod tangkapan polis.
“Kedua-dua mereka tidak bekerja dan sumber kewangan untuk membeli dadah adalah daripada anak-anak,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Meru Raya, di sini semalam.
Menurut beliau, pasangan suami isteri itu antara 1,078 individu yang ditahan dalam Operasi Cegah Khas (Op Cegah Khas) bilangan 4/2025 yang dijalankan di seluruh negara.
Katanya, daripada 1,078 individu yang ditahan, 794 daripada mereka disahkan positif dadah termasuk penjawat awam.
“Daripada jumlah mereka yang positif itu, seramai 747 orang ialah lelaki manakala 47 lagi merupakan wanita, berusia antara 13 hingga 61 tahun.
“Dalam operasi ini, kita turut mengesan individu yang menyalahgunakan ketum atas alasan rawatan dan pemulihan, selain 258 orang yang gagal hadir jamin dan 26 individu yang didapati tidak mematuhi syarat rawatan pemulihan dalam komuniti,” katanya.
Tambah beliau, penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine merekodkan tangkapan tertinggi dengan 508 individu diikuti opiat (180), ketum (29), opiat/meth (27), ganja (23), meth/ganja (7), MDMA (6), benzo (3) dan ketamin (1).
Sementara itu, mengulas operasi di Perak, beliau berkata, seramai 267 penagih dadah ditahan dengan 154 daripadanya merupakan penagih yang baharu dikesan.
“Seramai 218 individu didapati positif dadah atau bahan terlarang, dengan usia antara 19 hingga 71 tahun, membabitkan 214 lelaki manakala empat lagi adalah wanita.
“Daerah Kinta mencatat jumlah tangkapan tertinggi di Perak iaitu seramai 164 orang atau 61.4 peratus, Larut Matang dan Selama dengan 55 orang atau 20.5 peratus dan 48 tangkapan atau 17.9 peratus di Hulu Perak,” katanya. – UTUSAN










