Suasana hiba menyelubungi Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila sepasang ibu bapa naik ke pentas menerima skrol ijazah anumerta bagi pihak Allahyarhamah Farah Hasanah Abdul Jaid @ Abdul Kaid sebagai penghormatan terakhir universiti terhadap pelajarnya itu.
Allahyarhamah Farah Hasanah, 23, berasal daripada Lahad Datu, meninggal dunia pada 24 Julai tahun lalu akibat kegagalan buah pinggang, sekali gus menamatkan perjalanan akademik serta cita-cita besarnya dalam bidang teknologi.
Allahyarhamah yang dikenali sebagai peramah dan disenangi rakan-rakan mula menunjukkan tanda kemerosotan kesihatan sekitar 2023.
Ayahnya, Abdul Jaid @ Abdul Kaid, 58, berkata Farah merupakan seorang yang ceria seperti adik-beradiknya yang lain, namun berjauhan dari keluarga setelah melanjutkan pengajian ke UMS.
“Dia buat dialisis peritoneal sendiri di rumah, tetapi tidak sampai sebulan pun, keadaan dia berubah begitu cepat,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Konvokesyen UMS ke-27 pada Ahad.
Ibunya, Kamalahan Musli, 52, turut berkongsi keadaan tersebut dan berkata keadaan kesihatan anaknya semakin merosot selepas memasuki tahun ketiga pengajian.
“Tahun satu dan dua dia masih kuat, tapi bila masuk tahun tiga, kesihatannya makin merosot. Ubatnya pun tidak sempat habis,” katanya sebak.
Farah sangat rapat dengan kakaknya, Farah Hazimah, yang kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana di UMS.
Allahyarhamah meminati bidang Sains Data dan pernah menyatakan hasrat untuk membangunkan satelit Malaysia, impian yang sering dikongsikannya bersama keluarga.
Keluarga itu juga pernah kehilangan anak sulung dalam kemalangan pada 2020, namun Farah sentiasa mengingatkan ibu bapanya supaya tabah menghadapi ujian.
Menurut ibunya lagi, Allahyarhamah tidak pernah lupa mendoakan kesihatan kedua- dua orang tuanya sepanjang hayatnya.
Di kampus, Farah dikenang sebagai pelajar aktif persatuan dan tetap mengutamakan komitmen akademik. Pemergiannya memberikan kesan mendalam kepada keluarga –UTUSAN










