PETALING JAYA: Konsert band terkenal antarabangsa, My Chemical Romance (MCR), ditunda ke tarikh baharu iaitu 19 dan 20 November tahun depan.
Perubahan tersebut disahkan penganjur, Hello Universe menerusi satu kenyataan hari ini.
“Semua tiket sedia ada kekal sah untuk tarikh baharu tersebut. Tiada perubahan tempat duduk bagi peminat yang sudah membeli tiket,” katanya.
Konsert MCR sebelum ini dijadualkan pada 30 Mei dan 1 April 2026. Menurut penganjur, pemilihan tarikh baharu berikutan kesesuaian bulan November untuk mengadakan konsert.
“Dalam landskap industri muzik global, bulan November semakin dikenali sebagai tempoh yang ideal untuk konsert berskala besar.
“Dengan suasana hujung tahun yang penuh tenaga, perancangan jelajah yang lebih stabil, serta jangkaan peminat yang semakin tinggi, November sering melahirkan persembahan yang paling berkesan.
“Bagi sebuah band seperti MCR yang terkenal dengan persembahan penuh emosi dan hubungan mendalam bersama peminat. November bukan sekadar tarikh baharu, tetapi satu masa yang terasa tepat,” katanya lagi.










