Kon Yeow mahu Tekad jadi amalan wajib syarikat di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kon Yeow mahu Tekad jadi amalan wajib syarikat di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Program Tekad kepada PBAPP di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta serta syarikat dalam sektor perindustrian di Pulau Pinang digesa supaya menjadikan program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) sebagai piawaian operasi utama syarikat mereka.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, program Tekad tidak wajar dijadikan sekadar program sampingan sahaja demi memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan produktif.

“Apabila seseorang pekerja itu bebas daripada pengaruh dadah maka mereka akan bekerja dengan lebih fokus, mengurangkan risiko kemalangan dan menjadi aset bernilai kepada negeri serta negara.

“Kita ingin melihat Pulau Pinang bukan sahaja sebagai sebuah negeri yang maju, tetapi negeri yang rakyatnya sihat, produktif dan bebas dadah,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Program Tekad kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kejayaan PBAPP menyertai dan mematuhi program Tekad bukanlah pencapaian yang kecil kerana ia memerlukan kepimpinan jelas, dasar tegas serta komitmen yang menyeluruh daripada semua warga kerja syarikat tersebut.

“PBAPP telah mencipta sejarah sebagai operator air pertama di Malaysia dan syarikat berkait kerajaan negeri sulung di Pulau Pinang yang telah mencapai pematuhan penuh piawaian Tekad,” katanya.

Jelas beliau, PBAPP turut melaksanakan program sokongan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kampung Selamat pada Ogos lalu sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×