Kon Yeow harap 122 projek sambungan dapat direalisasikan sepanjang 2026

Kon Yeow harap 122 projek sambungan dapat direalisasikan sepanjang 2026

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang berharap agar 122 projek sambungan yang merangkumi infrastruktur awam, kemudahan masyarakat serta projek khas ekonomi yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang 2026 berjaya direalisasikan sepenuhnya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai, semua jabatan dan agensi pelaksana di peringkat negeri dan Persekutuan digesa memastikan setiap projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, keperluan terhadap infrastruktur moden serta sistem pengangkutan awam yang cekap semakin mendesak dan dalam hal ini, mobiliti yang baik bukan saja dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri, malah, menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik.

“Sehubungan itu, saya menantikan pelaksanaan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD), pembinaan tiang projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan banyak lagi inisiatif melalui kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Selaras usaha memperkukuh pertumbuhan industri bernilai tinggi pula, pelaksanaan projek strategik seperti Penang IC Design and Digital Park, Penang Chip Design Academy dan Silicon Research and Incubation Space dijangka membuka banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi selain menarik pelaburan syarikat teknologi global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang juga berpotensi untuk terus memperkukuh ekonomi rakyat melalui sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), ekonomi sosial, keusahawanan tempatan serta pekerjaan berasaskan kemahiran tinggi dan sederhana.

“Dengan adanya inisiatif seperti peningkatan kemahiran dan ‘reskilling’, sokongan kepada pekerja gig dan pemerkasaan komuniti bandar serta luar bandar akan memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya tertumpu kepada pelaburan besar, tetapi, turut dirasai secara langsung oleh isi rumah dan komuniti setempat.

“Semua ini boleh digerakkan melalui ekonomi hijau, industri kreatif, teknologi digital dan inovasi sosial yang membuka peluang pekerjaan baharu tanpa menjejaskan alam sekitar, dengan menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian,” ujar beliau.

Tambah Kon Yeow, kekuatan Pulau Pinang bukan sahaja terletak pada kedudukan strategik dan warisan sejarahnya yang kaya, tetapi, turut berpaksikan semangat serta keupayaan rakyatnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan, berdaya saing, inklusif serta bersedia menghadapi perubahan.

“Dalam hal ini juga, kerajaan negeri kekal komited untuk merangka hala tuju pembangunan yang seimbang dan menyeluruh,” katanya yang berbangga kerana dapat menyaksikan negeri itu terus melangkah maju serta berperanan signifikan dalam pembangunan negara pada penggal terakhirnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN