KKR tambah lampu jalan secara berperingkat - Utusan Malaysia

KKR tambah lampu jalan secara berperingkat

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya  (KKR) mengakui berdepan kekangan sumber dalam memastikan setiap jalan raya di seluruh negara diterangi cahaya lampu bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna terutama pada waktu malam.

Ini susulan rungutan pengguna berhubung ketiadaan cahaya lampu di Jalan Persekutuan di Johor yang menyukarkan pemanduan pada waktu malam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya kini memfokuskan strategi untuk memperluas pencahayaan jalan secara berperingkat dengan mengutamakan kawasan yang paling kritikal.

“Jika boleh, kita memang mahu setiap inci jalan diterangi sepenuhnya. Namun begitu, kita masih berdepan kekangan sumber. Justeru, buat masa ini dasar kita adalah untuk memberi keutamaan kepada pencahayaan di kawasan berisiko tinggi kemalangan termasuk di persimpangan dan di jambatan. 

“Kita masih belum mampu untuk menyediakan pencahayaan di sepanjang keseluruhan jajaran jalan. Oleh sebab itu, masih terdapat bahagian jalan yang gelap.

“Walau bagaimanapun, kita sentiasa memohon peruntukan tambahan dari tahun ke tahun supaya dapat menambah baik dan memperluaskan pencahayaan jalan raya di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Siri Jelajah Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Korea-Malaysia 2025 di sini, hari ini. 

Alexander berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PRDM) dalam mengenal pasti jajaran jalan yang memerlukan pencahayaan.

“lya, sudah tentu. Bukan sahaja dengan pihak polis, malah kementerian sendiri mempunyai pangkalan data yang lengkap dan terperinci. Kami mengetahui keadaan setiap meter jalan di bawah seliaan kami. 

“Namun demikian, kami sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain seperti pihak polis bagi mengenal pasti kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan memerlukan perhatian khusus,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat juga keadaan di mana lampu jalan di beberapa kawasan  tertentu tidak berfungsi akibat kerosakan atau vandalisme.

“Vandalisme agak berleluasa, ada yang curi kabel, jadi kita gantikan lampu berkabel itu kepada Diod Pemancar Cahaya (LED) solar. Itu pun kadang-kadang ada juga orang tumbangkan tiang.

“Jadi saya ambil kesempatan ini merayu kepada semua rakyat Malaysia supaya menghormati harta kerajaan atau agensi lebih-lebih lagi apabila tujuannya adalah untuk keselamatan dan keselesaan anda semua sebagai pengguna jalan raya,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN