Menjadi wakil rakyat bukan sekadar menandatangani dokumen atau menghadiri majlis rasmi, malah bagi Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, ia tentang hadir di tengah-tengah masyarakat, memahami suara rakyat, dan memastikan setiap tindakan memberi kesan nyata kepada kehidupan mereka.
Menurutnya, beliau menumpukan perhatian kepada tiga bidang utama Young Syefura Othman dekat dengan hati beliau yang juga seorang Ahli Jawatankuasa Khas Kesihatan, iaitu pendidikan, kesihatan dan kebajikan.

Katanya, pendidikan dilihat sebagai kunci kepada masa depan pelajar dan guru, manakala kesihatan warga emas menjadi keutamaan kerana populasi mereka di Bentong yang ramai.
“Saya banyak buat program dengan pelajar sekolah kerana pendidikan yang baik memberi impak besar kepada pelajar dan guru.
“Ramai warga emas di Bentong sudah pencen, anak-anak mereka bekerja di luar. Jadi, kita mahu mereka sentiasa sihat dan terlibat dalam aktiviti komuniti,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Young Syefura Othman
Ahli Parlimen Bentong
Tarikh Lahir
9 November 1989
Tempat Lahir
Lumut Perak
Pendidikan
Diploma Kejururawatan
Kerjaya
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang (2016-2018)
Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Pahang (2018-2022)
Ahli Parlimen Bentong (2022-Kini)
Setiap kawasan di Bentong mempunyai isu tersendiri, dan beliau sentiasa memastikan perkara itu dibawa ke Parlimen dengan cara yang sistematik.
Menurutnya, pendekatan turun padang dan komunikasi langsung dengan penduduk membantu mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat.
“Apabila ada sidang Parlimen, kita akan cuba bangkitkan isu-isu tersebut. Kita tanya penduduk setiap tempat, kita buat posting Facebook, tanya pandangan mereka, apa isu yang mereka hendak kita bawa ke Parlimen,” katanya.
Aktiviti mingguan di Bentong turut meliputi lawatan Ziarah Kasih, memastikan kehadirannya bukan sekadar simbolik tetapi mampu menyelesaikan isu yang dihadapi komuniti.
“Saya cuba pastikan setiap minggu kita pergi Ziarah Kasih, bergilir-gilir setiap kawasan. Kalau tiada sidang Parlimen, seminggu tiga atau empat kali. Kalau ada Parlimen, seminggu sekali.
“Kita hendak pastikan turun padang bukan kosong. Kita mahu selesaikan sesuatu,mungkin bukan semua, tapi sekurang-kurangnya satu dua isu dapat diselesaikan terus,” ujarnya.
PASTIKAN PROJEK SEDIA ADA BERJALAN LANCAR
Dalam soal pembangunan, Young Syefura tidak pernah segan berhubung terus dengan kementerian berkaitan untuk mendapatkan sokongan sekiranya peruntukan Parlimen tidak mencukupi.
“Kita lihat apa yang paling penting didahulukan. Selain membangkitkan isu di Parlimen, kami berjumpa agensi untuk selesaikan masalah,” jelasnya.
Dalam pada itu, projek besar seperti East Coast Rail Link (ECRL), Stesen Transit Utama (STU) dan Lingkaran Tengah Utama sedang dilaksanakan, jadi beliau sentiasa memantau setiap projek bagi memastikan kualiti dan keberkesanan.
“Sebagai ahli parlimen baru, saya mahu pastikan semua projek ini berjalan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan bagi rakyat untuk cakna terhadap setiap manfaat projek sedia ada yang dibawa oleh kerajaan seperti
Skim Tanah Rakyat (STR), Skim Kesejahteraan Komuniti (SKK) atau Sumbangan Sara.
“Ada yang tidak mengetahui program seperti STR, SKK atau Sumbangan Sara. Kita perlu jelaskan supaya mereka faham kelebihan yang ditawarkan.
“Aktiviti komuniti dan program kesihatan juga dilakukan untuk semua peringkat umur. Ini cara saya mendekatkan diri dengan rakyat dan beri mereka faham tentang pelbagai tawaran kerajaan Madani,” katanya.
HORMAT, TERAS UTAMA KEPIMPINAN
Prinsip kepimpinan Young Syefura jelas iaitu, rajin, mesra dan tegas kerana baginya, kehadiran berterusan dan penglibatan langsung membina kepercayaan masyarakat terhadap seseorang wakil rakyat.
“Maksud rajin adalah memastikan saya sentiasa ada di kawasan, bila diperlukan, dengan pelbagai program. Mesra dengan semua peringkat umur, semua golongan, tidak kira parti, dan tegas dalam setiap keputusan yang dibuat demi kebaikan penduduk,” ujarnya. – UTUSAN










