LOS ANGELES: Hubungan cinta penyanyi sensasi, Olivia Rodrigo, dengan pelakon kacak Britain, Louis Partridge, dilaporkan sudah berakhir.
Penyanyi Drivers Licence itu dikatakan memilih untuk membawa haluan masing-masing dengan Partridge beberapa minggu lalu.
Menurut sumber terdekat Olivia, penyanyi berusia 22 tahun itu masih berada dalam fasa bersedih dan dilaporkan menangis ketika menghadiri majlis hari jadi rakan baiknya yang juga penyanyi, Lily Allen.
“Olivia hadir ke majlis Lily dan kelihatan emosional ketika berkongsi mengenai perkara itu.
“Rakan-rakannya memberikan sokongan penuh, namun situasi ini amat sukar buatnya. Keadaannya benar-benar menyedihkan ketika ini,” kata sumber tersebut.
Hubungan kedua-dua selebriti itu mula menjadi perhatian umum pada Oktober 2023 apabila mereka dilihat meraikan Halloween bersama di London.
Sejak itu, Rodrigo dan Partridge sering dilihat saling menyokong kerjaya masing-masing serta tidak segan mempamerkan kemesraan di khalayak ramai.
Mereka turut membuat penampilan sulung bersama di karpet merah pada tayangan perdana filem Disclaimer sempena Festival Filem Venice, Ogos lalu.
Bagaimanapun, pada September lalu, Partridge menjelaskan mereka memilih untuk tidak terlalu terbuka mengenai hubungan cinta mereka dalam satu temu bual bersama Esquire UK. -UTUSAN










