Tiada siapa dapat menafikan bahawa permainan dalam talian khususnya yang sarat dengan unsur ganas dan tidak sihat turut menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kes salah laku dan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.
Maka, ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih besar agar masalah ini tidak menjejaskan akademik dan masa hadapan anak masing-masing.
Baru-baru ini kita didedahkan dengan laporan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di Ismailia, Mesir ditahan polis selepas membunuh dan memakan sebahagian tubuh rakan sekelasnya.
Ketika disoal siasat, remaja berkenaan mengaku berbuat demikian ‘atas rasa ingin tahu’ dan mendakwa dia terpengaruh dengan filem serta permainan video ganas yang sering ditontonnya.
Insiden seperti ini bukan sahaja tidak mengejutkan, malah menjadi bukti jelas bahawa pengaruh unsur ganas terhadap pelajar kini telah berkembang menjadi satu fenomena di peringkat global.
Hakikatnya, pendedahan berterusan kepada kandungan yang tidak sihat mampu mendorong golongan remaja bertindak di luar batasan, bahkan mempamerkan tingkah laku agresif yang membimbangkan.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati statistik kesihatan mental yang membimbangkan di Malaysia, termasuk satu daripada enam kanak-kanak (16.5 peratus) berhadapan masalah kesihatan mental, yang meningkat dua kali ganda sejak 2019.
Masalah ini merangkumi isu rakan sebaya, tingkah laku, emosi, dan hiperaktif dalam kalangan kanak-kanak.
Walaupun tidak semua pemain akan menjadi ganas, namun pelbagai kajian menunjukkan permainan yang menonjolkan serangan, pembunuhan atau persaingan ganas boleh mengaktifkan emosi tegang dan mendorong remaja meniru gaya penyelesaian konflik secara kasar sama ada secara lisan , fizikal atau melalui buli dalam talian.
Antara kesan besar ketagihan video berunsur ganas kepada anak-anak ialah, ketagihan dan pendedahan berulang kepada aksi ganas menyebabkan otak anak menjadi kurang sensitif terhadap kesakitan atau penderitaan orang lain.
Selain itu, fokus anak-anak terhadap urusan akademik dan aktiviti harian lain yang lebih sihat akan mudah terganggu.
Ironinya, anak yang ketagih akan menghabiskan lebih banyak masa bermain video tersebut berbanding belajar atau terlibat aktiviti sihat yang lain.
Akibatnya akan muncul gejala tidak cukup tidur, gagal menyiapkan tugasan, malas hadir ke sekolah, dan akhirnya prestasi akademik serta tahap kesihatan diri anak akan merosot. –UTUSAN
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Yang Dipertua PIBG
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor










