BUKIT MERTAJAM : Seorang pemilik sauna bersama enam individu lain yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti songsang di sebuah premis di Perai minggu lepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kesalahan seksual.
Pemilik sauna tersebut, Khor Yik Keian, 57, yang juga seorang penghidap HIV didenda sebanyak RM8,000
selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu berisiko menularkan jangkitan tersebut kepada orang lain serta memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya.
Tertuduh membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Roshayati Radellah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mempunyai sebab untuk percaya bahawa dirinya menghidap penyakit berjangkit iaitu HIV dan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan melalui perbuatannya di sebuah premis di Jalan Perai Jaya 4, Perai pada pukul 7 malam, 29 November lalu.
Atas kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 12(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki bahan lucah iaitu gambar dan video dalam telefon bimbit Oppo Reno 11, mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah yang sama, tiga lelaki iaitu Syed Al Aisy Syed Alfarley, 19; Teoh Wan Seong, 37; dan Ahmad Safwan Razali, 33, didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap Mohamad Azuddin Sabran, 58, dan Yik Keian di pusat sauna terbabit.
Ketiga-tiga mereka yang didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan masing-masing dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Pada masa yang sama, ketiga-tiga tertuduh juga didakwa atas pertuduhan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit masing-masing di lokasi, tarikh dan masa yang sama bersama tiga lagi tertuduh yang lain iaitu seorang warga China, Luo Yun, 41; A. A Mathiyalagan, 31, dan Mohd Redduwan Zairukaperi, 48.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan berkenaan, ketiga-tiga tertuduh yang pertama mengaku tidak bersalah dan masing-masing dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM3,000 seorang, manakala tiga lagi tertuduh iaitu Yun, Mathiyalagan dan Mohd Redduwan pula didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli.
Untuk rekod, kesemua tujuh individu yang didakwa merupakan sebahagian daripada 13 suspek yang ditahan polis dalam satu operasi di pusat sauna terbabit yang disyaki dijadikan lokasi aktiviti persundalan luar tabii susulan penemuan kondom, minyak pelincir serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral itu.










