Kes siasatan lelaki dipukul polis dirujuk Peguam Negara

Kes siasatan lelaki dipukul polis dirujuk Peguam Negara

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Polis menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan seorang pemuda dipukul oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis di Banting kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhammad Farid Ahmad berkata, kertas siasatan itu diserah pada minggu lepas selepas dirujuk kepada Bukit Aman.

“Kertas siasatan sudah diserah kepada Pejabat Peguam Negara selepas rujukan dibuat kepada Bukit Aman.

“Kita kini menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berkait kes berkenaan,” katanya selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Muhammad Farid memberi jaminan siasatan kes itu berjalan secara telus dan pihak polis akur terhadap apa jua arahan pihak pendakwaan selepas ini.

Pada 23 Disember lalu, polis memaklumkan siasatan dibuat susulan laporan seorang wanita yang mendakwa anaknya dipukul di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting.

Laporan daripada ibu mangsa yang memaklumkan menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit yang memaparkan insiden itu.

Rakaman itu memaparkan anaknya ditampar beberapa kali oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Mangsa dikatakan ditampar bagi mencari barang bukti dan bapa mangsa juga memaklumkan menyaksikan kejadian itu berlaku.

Mengulas mengenai majlis pelupusan hari ini, Muhammad Farid berkata pelupusan membabitkan pelbagai barangan kes rampasan sejak tahun 2010 hingga tahun ini.

“Sebanyak 283,872 kotak rokok, 53,691 tin dan botol minuman keras, 178 unit barang kes perjudian, 353 unit mesin bitcoin serta barangan lain bernilai RM3.5 juta dilupuskan.

“Ia membabitkan 673 kertas siasatan sejak tahun 2010 hingga tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN