Kes dadah Namewee tangguh kerana dijangkiti Influenza A

Kes dadah Namewee tangguh kerana dijangkiti Influenza A

NAMEWEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebutan kes dadah melibatkan Namewee ditangguh sehingga ke Isnin depan ekoran penyanyi rap kontroversi itu gagal hadir ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dijangkiti Influenza A.

Peguam Joshua Tay yang mewakili Namewee memaklumkan perkara itu dalam prosiding yang dijalankan secara berasingan di hadapan Majistret-Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan S. Arunjonthy.

“Anak guam saya tidak sihat hari ini dan (kami) telah membekalkan sijil sakit (MC) selama tiga hari termasuk laporan perubatan sebagai bukti Meng Chee dijangkiti influenza. Susulan itu, saya mohon mahkamah menetapkan sebutan kes pada tarikh singkat,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan kes pada 22 Disember ini dan 19 Januari 2026.

Mengikut pertuduhan pertama, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, didakwa dalam milikannya dadah disyaki jenis Ecstasy dengan anggaran berat 5.12 gram di bilik sebuah hotel di Jalan Conlay di sini pada pukul 4.30 petang, 22 Oktober lalu.

Pengarah filem ‘Nasi Lemak 2.0′ berkenaan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga dan sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberikan diri sendiri dalam badannya, dadah jenis amphetamine, methamphetamine, 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carbolic acid (THC) dan ketamin pada tarikh sama, pada pukul 7.15 petang di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’ Asnita Zaina’ Larifin dan Izzat Amir Idham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN