SEREMBAN: Projek Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) Seremban Sentral akan memulakan kerja-kerja fizikal utamanya pada tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, fasa pertama projek tersebut yang melibatkan pembangunan sebuah hospital swasta, pusat beli-belah dan menara pejabat 20 tingkat dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030.
“Kerja-kerja fizikal utama dijangka bermula pada tahun depan, dengan keseluruhan fasa pertama dijangka siap pada tahun 2030.
‘‘Projek ini mampu mewujudkan sebanyak 2,500 peluang pekerjaan baharu merangkumi sektor kesihatan, peruncitan, logistik, pelancongan dan perkhidmatan,’’ katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral, Seremban di sini hari ini.
Anthony Loke berkata, kerjasama strategik antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Kumpulan Sunway sebagai pemaju mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan Stesen KTM Seremban
Selain itu ia juga mengoptimumkan penggunaan tanah melalui aktiviti ekonomi yang menyokong sistem pengangkutan awam.
‘‘Bagi memastikan stesen berkembang secara dinamik, kawasan sekelilingnya perlu mempunyai aktiviti ekonomi. Sektor kesihatan dan peruncitan adalah pemacu utama dan kami yakin model kerjasama ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat,’’ katanya.
Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, pelancaran Seremban Sentral menandakan permulaan fasa baharu bukan sahaja kawasan Stesen KTM Seremban tetapi juga kepada pembangunan Seremban dan Negeri Sembilan secara keseluruhan.
“Pembangunan bersepadu Sunway yang merangkumi menara kediaman, pusat beli-belah, pusat perubatan bertaraf dunia, komponen hospitaliti dan pendidikan akan mentransformasikan kawasan ini supaya seiring dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan itu juga selaras dengan aspirasi Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 yang digerakkan kerajaan negeri bagi membangunkan ekonomi bernilai tinggi menjelang tahun 2045.
“Kami komited menjadi rakan strategik jangka panjang dalam menjayakan agenda ini bagi memastikan pembangunan Negeri Sembilan kekal mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN










