Kerajaan komited bantu pembangunan sukan akar umbi, cungkil bakat baharu belia

Kerajaan komited bantu pembangunan sukan akar umbi, cungkil bakat baharu belia

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (jersi kuning) bergambar bersama penganjur Kelab Lestari Vipers dan pemain pasukan U14 di Stadium Mini Uniten, Bangi, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kerajaan komited untuk terus menyokong pembangunan sukan akar umbi termasuk penganjuran kejohanan bola sepak belia yang berupaya mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, beliau berbangga dengan semangat dan prestasi ditunjukkan oleh para pemain muda yang beraksi dengan penuh kesungguhan serta semangat kesukanan yang tinggi.

Menurut beliau, penganjuran kejohanan yang tersusun dan berimpak seperti Vipers Super Sunday anjuran Kelab Lestari Vipers wajar diberikan sokongan berterusan oleh kerajaan, sama ada dari segi kewangan mahupun bantuan lain yang bersesuaian.

“Sekiranya prestasi serta tahap penganjuran dapat dikekalkan atau dipertingkatkan pada masa akan datang, saya secara peribadi akan memberi jaminan untuk membantu Kelab Bola Sepak Lestari Vipers mendapatkan Geran Padanan Sukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Jaminan ini agar acara seumpama ini dapat dianjurkan pada skala yang lebih besar, meriah dan komprehensif,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Vipers Super Sunday di Stadium Mini Uniten, di sini semalam.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada sembilan pasukan bertanding bagi peringkat umur 14 tahun dengan pasukan Tenaga Juara mengungguli Juara pertandingan liga bola sepak itu.

Vipers Super Sunday 2025 merupakan edisi keempat liga pembangunan bola sepak akar umbi kanak-kanak dan remaja untuk peringkat umur 6 tahun hingga 16 tahun yang telah berjaya dianjurkan sejak tahun 2022 oleh Kelab Bola Sepak Lestari Vipers.

Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, komitmen penganjur merupakan faktor utama dalam menilai kelayakan sesebuah persatuan menerima bantuan.

Katanya, ini memandangkan terdapat permohonan yang dihantar, namun tidak menunjukkan kesungguhan dari sudut pelaksanaan.

“Kelab Bola Sepak Lestari Vipers telah membuktikan kesungguhan yang baik. Kejohanan ini bukan sekadar medan untuk menang, tetapi menjadi ruang membina semangat kesukanan serta mengasah bakat terpendam dalam kalangan anak-anak,” jelasnya.

Tambah beliau, platform seperti ini amat penting bagi mengenal pasti bakat muda sebelum mereka diposisikan ke arah laluan pembangunan sukan yang lebih tersusun dan berkeperluan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN