PETALING JAYA: Sebarang keputusan muktamad rundingan 40 hasil Sabah wajar dibentang, dibahaskan dan dipersetujui di Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan ia melibatkan hak Perlembagaan negeri.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pelaksanaan hak 40 peratus Sabah mesti dilaksanakan melalui proses Perlembagaan yang jelas, berprinsip dan mempunyai tempoh masa munasabah bagi mengelakkan menjadi sekadar rundingan berlarutan tanpa penyelesaian muktamad.
Katanya, wujud kesepakatan di Sabah bahawa hak 40 peratus tersebut perlu dilaksanakan namun isu sebenar ketika ini bukan berkaitan prinsip sebaliknya membabitkan tafsiran dan kaedah pelaksanaan.
“Oleh kerana perkara ini melibatkan hak Perlembagaan Sabah, sebarang keputusan muktamad wajar dibentang, dibahaskan dan dipersetujui melalui wakil rakyat di DUN.
“Kesimpulannya, pelaksanaan hak 40 peratus Sabah mesti melalui proses Perlembagaan yang telus, berjangka masa dan menghasilkan keputusan adil, diyakini dan muktamad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salleh berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah siapa yang berhak menentukan kedudukan kewangan Persekutuan dan asas pengiraan hak 40 peratus tersebut.
Katanya, hal ini kerana Perlembagaan telah menyatakan bahawa pelaksanaannya tertakluk kepada kedudukan kewangan Persekutuan namun frasa itu tidak memansuhkan hak Sabah, sebaliknya hanya memberi ruang daripada segi masa dan kaedah pelaksanaan.
“Perlembagaan sendiri menyediakan mekanisme sekiranya berlaku perbezaan tafsiran, termasuk melalui penilaian bersama dan pelantikan assessor (penilai bebas), sekali gus membuktikan bahawa rundingan adalah sebahagian daripada proses Perlembagaan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa rundingan tersebut mesti dijalankan secara tersusun, berprinsip dan berfokus kepada hasil, bukan sekadar perbincangan tanpa hala tuju.
“Disebabkan Sabah Law Society terlibat secara langsung dalam menuntut hak ini melalui proses mahkamah, adalah wajar dan munasabah untuk mereka turut dilibatkan dalam rundingan,” katanya.
Menurut Salleh, rundingan juga tidak seharusnya terhad kepada saluran pentadbiran semata-mata seperti Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri sebaliknya perlu melibatkan pihak berkepentingan yang relevan.
“Rundingan yang berlarutan tanpa hasil konkrit bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya.
Mengulas mengenai pembayaran interim, Salleh berkata, konsep itu hanya boleh bersifat sementara dan tidak boleh dijadikan pengganti kepada penyelesaian muktamad.
“Pembayaran interim tidak boleh menggantikan kewajipan untuk memuktamadkan jumlah sebenar, kaedah pelaksanaan dan penyelesaian tunggakan,” jelasnya. – UTUSAN










