Kemboja, Thailand perlu utamakan keselamatan rakyat

Kemboja, Thailand perlu utamakan keselamatan rakyat

AHMAD Zahid Hamidi mengadakan pertemuan bersama Anutin Charnvirakul di Bangkok, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak mesti mengutamakan keselamatan rakyat serta kembali kepada saluran diplomasi dan pematuhan undang-undang antarabangsa susulan konflik sempadan Thailand dan Kemboja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia amat prihatin terhadap situasi yang sedang berlaku di sempadan kedua-dua negara tersebut dan berharap segala usaha penyelesaian dapat dilakukan demi keselamatan orang awam serta kestabilan wilayah.

“Malaysia juga berharap kedua-dua negara akan terus komited memastikan gencatan senjata dipatuhi dan melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Damai Kuala Lumpur demi menjamin keselamatan komuniti di kedua-dua belah sempadan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul di Bangkok, semalam.

Pertemuan sempena Mesyuarat ke-14 Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan itu antara lain turut membincangkan perkembangan keselamatan serantau serta isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menekankan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Thailand dalam kesiapsiagaan dan tindak balas bencana rentas sempadan. 

“Selaras dengan persetujuan pertengahan tahun ini, kedua-dua negara akan meningkatkan perkongsian data meteorologi, sistem amaran awal, koordinasi antara agensi serta latihan bersama dalam menghadapi risiko banjir, ribut dan bencana lain,” katanya. 

Katanya, Malaysia dan Thailand membincangkan potensi perluasan kerjasama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya latihan kemahiran dalam sektor pembuatan, pertanian, teknologi digital serta program mobiliti pelajar dan pensyarah. 

Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama industri halal termasuk peluang eksport bersama. 

“Malaysia kekal komited untuk mengambil langkah tegas, menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu terkait demi memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan serantau terus terpelihara.

“Malaysia menghargai hubungan erat dengan Thailand dan akan terus memperkukuh kerjasama demi sempadan yang lebih terjamin serta masa depan ASEAN yang lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×