Kematian pelatih Palapes diklasifikasi semula sebagai kes bunuh - Utusan Malaysia

Kematian pelatih Palapes diklasifikasi semula sebagai kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan polis membabitkan kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya telah mentaklimatkan hasil siasatan berhubung kes kematian berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini.

“Susulan itu, AGC mengarahkan agar kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu-individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian ini sebelum kertas siasatan dirujuk semula kepada AGC untuk arahan selari dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 28 Julai lalu, Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Kumar berkata, satu siasatan mati mengejut (SDR) telah dimulakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atas kematian Syamsul Haris.

Jelasnya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) JSJ telah mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian tersebut pada 27 Ogos.

“Ia berikutan perintah Mahkamah Tinggi, Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula (exhumation) dan bedah siasat kali kedua,” jelasnya.

Kumar mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu sementara siasatan dijalankan, demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN