Keluarga Syamsul Haris berpuas hati - Utusan Malaysia

Keluarga Syamsul Haris berpuas hati

NARAN Singh (kiri) bersama ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin berpuas hati selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat keputusan mengklasifikasikan semula kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Peguam mewakili keluarga Allahyarham, Datuk Naran Singh berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan siasatan segera. sekali gus mengheret individu terlibat ke muka pengadilan.

Katanya, siasatan perlu dilaksanakan daripada pelbagai sudut bagi mencari kebenaran berhubung punca sebenar kematian mangsa.

“Pihak keluarga terutamanya ibu mangsa berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh AGC. Harap pelaku kes ini dapat menerima tindakan setimpal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Naran berkata, siasatan juga perlu dijalankan terhadap kemungkinan wujud ‘ta­ngan ghaib’ yang menyorokkan maklumat berhubung kematian Syam­sul Haris.

Katanya, ia jelas merupakan percanggahan besar bahawa tiada kecederaan pada anggota tubuh Allahyarham.

“Siasatan dan keterangan juga perlu diambil terhadap dua doktor yang menjalankan bedah siasat kali pertama di Hospital Kota Tinggi, Johor memandang­kan terdapat percanggahan maklumat,” katanyanya.

Kelmarin, polis memaklumkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 28 Julai lalu, siasatan mati mengejut (SDR) telah dimulakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atas kematian pemuda itu.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kemudiannya telah mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian tersebut pada 27 Ogos.

Ia berikutan perintah Mah­kamah Tinggi, Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula (exhumation) dan bedah siasat kali kedua.

Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada AGC dalam masa terdekat.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Se­langor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN