PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berdepan detik cemas apabila dilarikan penjenayah ketika berada di dalam kereta keluarganya di Kampung Lindungan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 7.24 pagi daripada pasangan suami isteri memaklumkan kejadian terbabit.
Katanya, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri tersebut meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan dan meninggalkan anak perempuan mereka di dalam kereta untuk membeli sarapan.
“Susulan itu, polis melancarkan Operasi Tutup dan melalui hasil bantuan orang awam, kenderaan terbabit berjaya ditemukan di kawasan Apartment Mentari Court, Petaling Jaya, tiga jam kemudian.
“Kanak-kanak tersebut telah diserahkan semula kepada pasangan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Azman Ayob 012-223 7272.– UTUSAN










