‘Kami hanya mahu pulang ke Gaza’

‘Kami hanya mahu pulang ke Gaza’

Seorang kanak-kanak perempuan yang rumahnya hancur dibedil tentera Zionis menjual makanan di Tel al-Hawa, Gaza semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami hanya mahu pulang ke tanah kami, kembali ke tempat asal kami.”

Itulah harapan salah seorang penduduk Gaza yang tidak lagi dapat kembali ke kawasan asalnya selepas penempatan itu diduduki dan dimusnahkan sepenuhnya oleh serangan berterusan tentera Israel.

Asmaa Hussein Eslayeh, 32, berkata, keperluan paling mendesak ketika ini bukanlah makanan atau bantuan sementara tetapi sebuah tempat tinggal yang boleh memberi perlindungan kepada mereka.

Katanya, erti sebuah ‘rumah’ tidak lagi merujuk kepada ba­ngunan, sebaliknya tanah tempat mereka pernah berpijak dan dibesarkan.

“Rumah sudah musnah, seluruh kawasan telah hancur. Tiada tempat untuk kami tinggal, tetapi kami hanya mahu pulang ke ta­nah kami, kembali ke ruang yang kami miliki, ke tempat asal kami. Itulah satu-satunya makna ‘rumah’ bagi kami iaitu tanah kami.

“Bagaimanapun, tempat ting­gal tidak boleh diganti de­ngan khemah atau kem atau apa saja bentuk sementara. Tempat tinggal bermaksud rumah. Khemah tidak sesuai untuk didiami di sini, tidak sesuai untuk cuaca musim sejuk atau panas,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Asmaa berkata, sekurang-kurangnya perumahan sementara seperti karavan atau apa-apa bentuk kediaman lebih kukuh perlu disediakan bagi membolehkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal meneruskan kehidupan dengan lebih selamat.

Katanya, lebih sejuta rakyat Gaza termasuk golongan kurang upaya tidak memiliki rumah dan kini tinggal di dalam khemah.

“Sesiapa yang tinggal di dalam khemah memerlukan khemah baharu setiap beberapa bulan. Bayangkan ada yang tinggal dalam sebuah khemah untuk tempoh yang sangat panjang.

“Khemah itu langsung tidak mampu menahan cuaca atau memenuhi keperluan asas hi­dup. Apa yang saya boleh katakan, tempat tinggal bukan lagi pilihan, malah ia adalah keper­luan paling mendesak ketika ini,” katanya.

Menurut Asmaa, penduduk Gaza kini seolah-olah hidup dalam keadaan yang terperangkap dan tidak mampu menjangkakan apa yang menanti mereka dari satu hari ke hari berikutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN